ANWAR memfailkan saman terhadap Sanusi berhubung ucapan berbaur fitnah yang mengaitkan beliau dengan perlakuan tidak bermoral dalam kempen ceramah 'Jelajah PN Best Tambun’. FOTO arkib NSTP
ANWAR memfailkan saman terhadap Sanusi berhubung ucapan berbaur fitnah yang mengaitkan beliau dengan perlakuan tidak bermoral dalam kempen ceramah 'Jelajah PN Best Tambun’. FOTO arkib NSTP
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini mengarahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengemukakan hujahan bertulis bertulis masing-masing sebelum atau pada 26 Julai ini, yang berkaitan saman fitnah difailkan oleh perdana menteri itu.

Hujahan bertulis berkenaan adalah berhubung bantahan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun terhadap permohonan Sanusi supaya Mahkamah Tinggi menentukan persoalan berkaitan pengampunan yang diberikan kepadanya (Anwar) lima tahun lalu.

Sanusi juga memohon mahkamah untuk menentukan persoalan undang-undang, sama ada sesuatu pengampunan yang diberikan Yang di-Pertuan Agong di bawah kuasa yang diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berupaya mengetepikan sabitan jenayah.

Bantahan itu berkaitan saman fitnah difailkan Anwar terhadap Sanusi pada 13 Disember tahun lalu berhubung ucapan berbaur fitnah yang mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah 'Jelajah PN Best Tambun'.

Peguam Anwar, Datuk SN Nair ketika dihubungi pemberita, berkata arahan untuk memfailkan hujahan bertulis itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Alor Setar, VK Neethiya Nair pada prosiding pengurusan kes saman itu hari ini.

Katanya, mahkamah juga mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan jawapan kepada hujahan bertulis itu selewat-lewatnya pada 9 Ogos ini dan tarikh pengurusan kes lanjut ditetapkan pada 14 Ogos.

Turut hadir pada prosiding itu ialah peguam Jaden Phoon Wai Ken mewakili Anwar manakala peguam Adam Luqman bertindak mewakili Sanusi.

Dalam afidavit jawapan kes saman itu yang difailkan 25 April lalu, Anwar menyatakan bahawa permohonan Sanusi bagi menentukan persoalan itu adalah di luar bidang kuasa mahkamah.

Menurut Presiden PKR itu, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Perkara 181, memperuntukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan adalah kuasa yang tetap dan tidak terjejas.

Beliau menegaskan, pelbagai kes diputuskan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan yang mendukung prinsip perundangan itu dengan memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh mengesahkan apa-apa keputusan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, ia termasuk keputusan untuk memberikannya pengampunan, yang secara langsung membuktikan bahawa mahkamah tidak mempunyai apa-apa bidang kuasa untuk berbuat demikian.

"Selaras dengan pengampunan itu, saya diampunkan secara penuh dan segala keburukan ke atas diri saya, termasuk rekod mahkamah adalah diketepikan dan apa-apa kenyataan yang menyentuh perkara sama adalah fitnah serta boleh diambil tindakan," katanya.

Anwar dalam pernyataan tuntutan melalui saman itu, mendakwa kenyataan fitnah berkenaan antaranya membawa maksud beliau mendapat pengampunan melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 6:01 PM