LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Ahmad Ismail


Segamat: "Saya berlari sekuat hati ke rumah jiran dan dapati mangsa dihempap bumbung sekolah".

Demikian luah Arif Budiman, 37 jiran kepada P Mahadevi yang maut selepas dihempap bumbung sekolah di belakang rumah mereka diterbangkan angin kuat di Kampung Tahang Rimau di sini petang semalam

Katanya, sebelum kejadian pada kira-kira jam 7 petang, hujan lebat dan petir di kawasan itu.

Menurutnya, sebaik mendengar jeritan meminta pertolongan, dia bergegas berlari dan mendapati bahagian dapur rumah jirannya dihempap bumbung sekolah.

"Saya terus bantu tarik mangsa selepas rumah mereka dihempap bumbung. Ketika itu, mangsa dalam keadaan tertiarap dan tersepit di bahagian pinggang.

"Hujan lebat menyukarkan keadaan. Jiran-jiran turut datang membantu dan kami berjaya menarik keluar mangsa," katanya ditemui di sini, hari ini.

Abang ipar mangsa, Tamil Selvam Periyasamy Bala, 55, berkata adik iparnya itu tinggal di rumah bersama suami P Saravanan, 57, dan seorang adiknya, V Bala, 51 ketika kejadian.

"Kami sekeluarga masih lagi terkejut dengan kejadian yang menimpanya. Keluarga juga masih trauma dan buat masa sekarang tinggal di rumah saudara di sini," katanya di sini.

Menurutnya, adik iparnya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum kejadian tetapi dirinya agak banyak bercakap menjadi petanda kepada pemergian adik iparnya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah mengesahkan kejadian berkenaan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 5:02 PM