GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Tasek Gelugor: Polis menahan tiga lelaki warga tempatan yang disyaki terbabit dalam kes curi kabel milik Telekom Malaysia (TM), dalam kejadian Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Assisten Komisioner Mohd Asri Shafie, berkata ketiga-tiga suspek itu ditahan di tiga lokasi berbeza di Sungai Petani, Kedah dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah (D9), hari ini.

Menurutnya, tangkapan diadakan susulan polis menerima panggilan telefon daripada orang awam yang melaporkan bahawa melihat tiga lelaki yang tidak dikenali dalam keadaan mencurigakan dipercayai sedang mencuri kabel di tepi jalan kawasan Tasek Gelugor, jam 1.05 pagi pada Selasa lalu.

"Semasa anggota polis sampai di lokasi kejadian, ketiga-tiga suspek telah melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda sebelum merempuh pokok.

"Bagaimanapun, mereka melarikan diri ke dalam kawasan semak berhampiran sebelum kelibat mereka hilang. Ops kesan dijalankan namun gagal menjumpai kesemua suspek," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, siasatan polis di lokasi kejadian turut mendapati suspek tidak sempat menarik keluar kabel yang dipotong dari lubang bawah tanah.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, polis kemudian terus mengesan suspek dengan semakan ke atas kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu mendapati ia didaftar atas nama seorang lelaki warga tempatan yang beralamat di Sungai Petani, Kedah.

"Bertindak melalui butiran yang diperoleh, ketiga-tiga berjaya ditahan dan pemeriksaan yang dijalankan ke atas kenderaan yang digunakan mereka menjumpai peralatan yang disyaki digunakan untuk mencuri kabel.

"Hasil ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif dadah jenis Meth," katanya.

Ketiga-tiga suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah itu kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 8:48 PM