Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian anak sepupunya dengan melakukan perbuatan cuai dan memiliki selaras senapang patah serta empat butir peluru hidup, pada 12 Mei lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Nik Nazli Nik Mohd Mustapha, 39, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Mohamad Hasmizi Zudin Che Hasmi, 26, dengan melakukan perbuatan cuai.

Perbuatan itu dilakukan di Kompartment 42, Hutan Simpan Kekal Ulu Sat, Kelantan Timur, dekat Machang antara 2 hingga 3 pagi pada 12 Mei 2023.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki selaras senapang patah dan empat butir peluru hidup dengan cara menyalahi undang-undang bertempat di kaki bukit belakang Pejabat Tapak Semaian Jabatan Perhutanan, Bukit Batu Tapong, Machang, kira-kira 1 tengah hari pada tarikh sama.

BURUH didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyebabkan kematian anak sepupunya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
BURUH didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyebabkan kematian anak sepupunya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman sehingga 14 tahun penjara dan dihukum sebat tidak kurang daripada enam kali, jika disabitkan dengan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Mahkamah menetapkan 25 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan untuk serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki yang memburu di kawasan Hutan Simpan Bukit Pelanduk, Machang tertembak anak sepupunya, dalam kejadian jam 2 pagi pada 12 Mei lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dilaporkan berkata, lelaki berusia 39 tahun dikatakan melepaskan tembakan selepas menyangka mangsa adalah haiwan buruan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 12:44 PM