Hessein (kiri) bersama Jeffrey semasa majlis pelancaran Program Kesedaran Jenayah di Universiti Sunway, Subanf Jaya.
Hessein (kiri) bersama Jeffrey semasa majlis pelancaran Program Kesedaran Jenayah di Universiti Sunway, Subanf Jaya.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Subang Jaya: Ketua Polis Daerah dan ketua balai polis di negeri ini yang didapati ingkar surat aku janji sifar judi bakal berdepan tindakan tegas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ini berikutan beliau mahu memastikan negeri ini bebas daripada kegiatan perjudian.

"Di Selangor kita fokus kepada premis disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.

"Kita akan perangi habis-habisan, kalau ada pun (buat masa ini) sangat minima, jadi kita akan pastikan ia (premis judi) tiada di Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Program Kesedaran Jenayah di Universiti Sunway, di sini, hari ini.

Program bertemakan komuniti bertindak itu dijalankan dengan kerjasama Universiti Sunway, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah; Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.

Menurutnya, tindakan dalaman termasuk dari segi tatatertib dan pertukaran jabatan bakal diambil terhadap mana-mana pegawai kanan yang didapati ingkar aku janji berkenaan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay mengingatkan ketua polis daerah seluruh negara supaya tidak ingkar aku janji yang ditandatangani.

Ayob mendedahkan pihaknya menerima maklumat ada dalam kalangan Ketua Polis Daerah tidak berpuas hati apabila tindakannya menghantar pasukan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dari Bukit Aman bagi mengambil tindakan terhadap premis judi dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 2:39 PM