Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Dua individu ditahan reman kerana disyaki mengemukakan maklumat pekerja mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan berjumlah lebih RM4 juta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedangkan program tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Menurut sumber, suspek pertama berusia 62 tahun yang juga pemilik syarikat dipercayai ditahan jam 5.20 petang, semalam.

Katanya, suspek kedua berusia 33 tahun yang juga pengarah syarikat sama ditahan jam 5.45 petang, semalam. Mereka di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang.

Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai mengemukakan tuntutan lebih RM4 juta pada 2021 dan 2022.

Perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 22 Mei nanti dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Kuantan, Nur Izzati Zakaria terhadap kedua-dua suspek berkenaan selepas pihak SPRM membuat permohonan reman itu pada pagi ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 6:49 PM