Sobri (kanan) dan isterinya Zima Abu Talib, 54, ceria menerima rumah baharu pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Inisiatif Veteran ATM. FOTO Bernama
Sobri (kanan) dan isterinya Zima Abu Talib, 54, ceria menerima rumah baharu pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Inisiatif Veteran ATM. FOTO Bernama
BERNAMA

Ipoh: Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) menyasarkan 170 rumah untuk dibaik pulih pada tahun ini, kata Ketua Pengarahnya Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 147 unit telah diluluskan hingga hari ini dan proses membaiki baki rumah rosak akan diteruskan secepat mungkin.

"Melalui inisiatif perumahan veteran tentera pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM5.7 juta bagi membina 40 rumah baharu dan 170 rumah untuk dibaik pulih.

"Setakat ini, kita sudah bina 32 unit rumah baharu dengan tujuh daripadanya telah siap dibina. Tempoh bagi menyiapkan sebuah rumah dalam tiga bulan sahaja," katanya pada sidang media selepas merasmikan penyerahan kunci rumah di Kampung Ulu Chepor di sini hari ini.

Zambery Jefry berkata, usaha itu melalui inisiatif perumahan yang dijayakan oleh JHEV ATM bagi membina rumah baharu kepada veteran ATM yang daif dan memerlukan.

Beliau berkata, rumah bina baharu yang dirasmikan hari ini bernilai RM85,000 dengan JHEV ATM membiayai sebanyak RM65,000, manakala bakinya dibiayai dan dipantau oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Sementara itu, seorang pesara komando, Mohd Sobri Bakar, 63, berkata, beliau berasa gembira dan bersyukur apabila menerima sebuah rumah selepas kira-kira empat tahun tinggal dalam pondok di Kampung Gapis dekat Padang Rengas.

Mohd Sobri yang pernah bertugas selama 15 tahun sebagai anggota Grup Gerak Khas di Kem Slim, Cameron Highlands sejak 1982, menyifatkan JHEV ATM adalah sebuah badan yang sentiasa cakna dan responsif dalam membantu golongan tersebut.

"Saya membuat permohonan untuk mendapatkan rumah pada Mac tahun lepas dan siap sepenuhnya bulan lepas, saya berterima kasih kepada pihak JHEV ATM.

"Selepas bersara, saya meneruskan hidup dengan membuat pelbagai kerja termasuk sebagai pemandu lori, kerja kilang serta kerja kebun seperti mengambil upah potong rumput dan menebang pokok bagi menampung keluarga," katanya ketika ditemui di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 4:54 PM