M Hifzuddin Ikhsan


Jitra: Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beliau tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam Gerakan Tanah Air (GTA) selepas gabungan itu tewas teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tahun lalu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau mengambil keputusan itu selepas menyedari GTA tidak mampu dan gagal menarik sokongan pengundi ketika PRU-15 lalu.

Jelasnya, beliau kini memilih bergerak sebagai mewakili dan berjuang untuk masyarakat melalui Proklamasi Orang Melayu, selepas enggan terbabit dengan mana-mana parti politik.

"Jawatan Pengerusi GTA itu perkara lama, saya tidak ada (sebarang jawatan) lagi. (Penubuhan) GTA tidak jadi, ia tidak membantu kita (menang PRU-15) kerana ia parti politik.

"Kita dapati kalau bergerak sebagai parti, kita tidak boleh menang, kita sudah lawan dalam PRU15, GTA dan Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air) kalah 125 kerusi.

"GTA kita tidak dapat daftar, GTA tak dapat berfungsi (sebagai parti politik) dan tidak dapat bergerak," katanya pada sidang media selepas hadir Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pertubuhan Prihatin Kubang Pasu di Kampung Naga, di sini, malam tadi.

Dr Mahathir pada Februari lalu, mengumumkan keluar Pejuang bersama 12 ahli lain berikutan tindakan parti berkenaan memutuskan hubungan bersama GTA, namun kekal sebagai Pengerusi GTA.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menjelaskan, Proklamasi Orang Melayu dilihat mampu memberi kesedaran kepada orang Melayu tentang nasib mereka yang dilihat kehilangan kuasa di negara sendiri.

Katanya, jika penyatuan dalam kalangan orang Melayu tidak dicapai, maka kedudukan kaum itu akan semakin terhakis dari hari ke hari.

"Proklamasi Orang Melayu adalah perjuangan bagi mengingatkan orang Melayu agar tidak leka, tidak jual tanah mereka, tuntut kembali hak mereka. Sepatutnya kita mampu berdiri tapi ramai orang Melayu masih miskin.

"Jika orang Melayu tidak sedar perkara ini dan biarkan negara dipimpin mereka yang mencuri dan merompak, orang Melayu akan terus ketinggalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 10:02 AM