GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa kerajaan mengkaji semula gaji penjawat awam yang berada di bawah RM4,000 sebulan bagi membolehkan mereka berkemampuan untuk membeli rumah.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, selagi gaji mereka masih 'ditakuk' lama, penjawat awam yang dikategorikan sebagai B40 ini masih tidak akan mampu untuk membeli rumah sehingga mereka pencen.

"Gaji penjawat awam sekarang 30 ke 40 peratus terlalu rendah. Kerajaan kena mengkaji semula gaji mereka. Kalau gaji ini dapat dikaji dan dipertingkatkan gred, dapatlah mereka beli rumah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, seramai 800,000 penjawat awam didakwa Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tidak mampu memiliki kediaman sendiri berikutan gaji yang rendah berbanding harga semasa rumah yang tidak munasabah.

Mohamed Shafie berkata, selagi gaji ini tidak dipertingkatkan, penjawat awam tidak akan berkemampuan untuk membayar balik pinjaman perumahan mereka.

Beliau juga menggesa kerajaan supaya mengkaji semula dasar perumahan di negara ini sama ada ia membantu pekerja atau penjawat awam untuk membeli rumah atau menyukarkan mereka.

"Kita lihat harga rumah kini melambung, tidak terkawal dan tidak ada satu harga yang 'standard'. Hanya bergantung kepada pemaju yang menentukan harganya.

"Apa yang kerajaan perlu buat sekarang ini ialah mengawal harga rumah. Jangan sewenang-wenangnya ia ditentukan berdasarkan harga pasaran.

"Harga rumah ini mestilah berpatutan dan boleh dimiliki oleh pekerja khususnya mereka yang di bawah B40," katanya.

Penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Siti berpandangan, gaji minimum RM1,500 yang ditetapkan kini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mereka tetapi tidak cukup untuk membeli rumah.

Bagaimanapun katanya, sekiranya kerajaan memperkenalkan skim rumah mampu milik, berkemungkinan ia dapat membantu penjawat awam untuk memiliki kediaman sendiri.

"Rakyat sekarang lebih terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi. Gaji minimum RM1,500 dapat membantu meringankan beban yang ditanggung tetapi tidak cukup untuk membantu membeli rumah. Kecuali jika kerajaan memperkenalkan skim rumah mampu milik," katanya.

Seorang lagi penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Ali, 31, berkata, sekiranya membeli rumah, dia terpaksa 'mengikat perut' selepas itu.

"Kalau saya beli rumah, saya tidak boleh beli kereta atau membuat pinjaman lain. Selain itu, rumah yang saya beli itu juga hendaklah di bawah paras harga RM150,000.

"Kalau saya membuat pinjaman lain seperti membeli kereta, ia akan memberi kesan kepada perbelanjaan harian saya disebabkan kadar gaji yang rendah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 4:47 PM