GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan esok untuk pihak-pihak terbabit memaklumkan status perbincangan bagi penyelesaian kes tuntutan harta sepencarian lebih RM2 bilion yang difailkan balu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail terhadap empat anak dan ibu mentuanya.

Empat anak Kalsom iaitu Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla manakala ibu mentuanya, Aminah Abdullah adalah defendan pertama hingga kelima.

Hakim Syarie Abdul Shukor Abd Hamid menetapkan esok untuk mengetahui status perbincangan tersebut selepas membenarkan permohonan peguam Syarie Nor Husniah Husin yang mewakili Kalsom untuk menangguhkan prosiding hari ini.

Terdahulu, Nor Husniah memberitahu mahkamah bahawa peguam utama yang mewakili Kalsom, Datuk Sulaiman Abdullah tidak dapat hadir hari ini kerana menghadiri mesyuarat di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di Putrajaya.

"Pada 18 April lalu, pihak kami menulis surat kepada mahkamah untuk penangguhan prosiding hari ini kerana Datuk Sulaiman hadir mesyuarat di JKSM. Kami percaya Datuk Sulaiman adalah orang yang terbaik untuk mahkamah mendapatkan pengesahan status perbincangan penyelesaian kes itu," katanya.

Sementara itu, peguam Syarie Nur Hidayah A Bakar, yang mewakili Aminah ketika ditemui pemberita berkata pihaknya membantah permohonan penangguhan prosiding hari ini kerana peguam lain yang mewakili Kalsom boleh memaklumkan kepada mahkamah mengenai status perbincangan itu.

"Mahkamah membenarkan prosiding hari ini ditangguhkan dan meminta pihak-pihak hadir ke mahkamah 2.30 petang esok untuk memaklumkan status perbincangan penyelesaian kes tersebut," katanya.

Kalsom, 67, memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia dan Makkah serta beberapa syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan empat anak serta ibu mentuanya sebagai defendan.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 3:43 PM