JENGKAUT diletakkan di tebing Sungai Gong yang berisiko menyebabkan pencemaran. FOTO ihsan LUAS
JENGKAUT diletakkan di tebing Sungai Gong yang berisiko menyebabkan pencemaran. FOTO ihsan LUAS
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengesan dan menangani pencemaran bau dipercayai diesel dengan kadar 1 ton di Sungai Gong, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, pencemaran itu dikesan ketika pemantauan dan pengawasan 24 jam melalui Skuad Pantas LUAS jam 1.30 tengah hari semalam.

"LUAS mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air (insiden yang berpotensi menyebabkan henti tugas LRA).

"Siasatan segera LUAS menemukan sebuah jentera jengkaut diletakkan di tebing Sungai Gong dengan anggaran jarak 150 meter dari sungai dan berhampiran sebuah premis kilang.

"Jentera itu dikenal pasti digunakan bagi melaksanakan kerja pemasangan gabion untuk pengukuhan tebing sungai malah tanpa kelulusan dan tidak mengikut piawaian kerja sewajarnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Loy Sian berkata, jentera itu melaksanakan kerja-kerja dari dalam sungai dan amat berisiko tinggi mengakibatkan pencemaran seperti tumpahan minyak.

"Lanjutan itu, LUAS segera mengarahkan pengendali mengalihkan jentera terbabit serta-merta dari tebing sungai yang mana berpotensi menyebabkan pencemaran dan gangguan kepada operasi Loji Rawatan Air (LRA) utama negeri iaitu LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2, dan SSP3.

"Selain itu, kerja penyemburan menggunakan rawatan biologikal menerusi inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) juga dilakukan sebagai tindakan kawalan dan pencegahan serta pemuliharaan agar tiada sebarang implikasi kepada Sungai Gong.

"Insiden ini berjaya diatasi dan tiada sebarang gangguan operasi LRA dilaporkan dan LUAS membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 59 (1)(b) Enakmen LUAS 1999 berkenaan kesalahan menjalankan aktiviti kemasukan atau pelepasan bahan pencemar tanpa lesen LUAS," katanya.

Pada masa sama katanya, LUAS akan menjalankan tindakan susulan penguatkuasaan bagi pematuhan lesen lain yang berkaitan terhadap premis yang berkenaan.

"Kerajaan Selangor melalui LUAS sentiasa komited memastikan kelangsungan sumber air di Selangor dan menyeru agar semua pihak prihatin terhadap kawasan sensitif sumber air negeri terutamanya sungai.

"Laporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air agar insiden pencemaran itu tidak berulang.

"Pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air adalah tanggungjawab bersama. Keprihatinan dan kerjasama semua pihak amat diharapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 11:29 AM