Siti Rohana Idris


Tumpat: Suasana di jeti feri dan bot di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini, sesak berikutan warga Thailand pulang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman, hari ini.

Difahamkan, orang ramai mula beratur seawal 6.30 pagi untuk urusan mengecop pasport atau pas sempadan walaupun kaunter di kedua-dua jeti mula dibuka pada 7 pagi.

Malini Dolah, 36, berkata dia tiba di Kota Bharu dari Johor Bahru kira-kira 9.30 pagi tadi bersama suami dan adik perempuannya dengan menaiki bas ekspres sebelum menaiki kereta e-hailing ke Pengkalan Kubor.

"Suami bekerja kilang di Singapura dan dia mendapat cuti selama 10 hari menyebabkan kami teruja untuk pulang ke kampung halaman saya di Bukit Tanjung, Narathiwat.

"Banyak juga kelengkapan raya dibawa pulang kerana kami membeli-belah lebih awal disebabkan tidak mahu menjadi kalut apabila menjelang hari raya.

"Selepas beberapa hari meluangkan masa bersama sanak saudara di Narathiwat, kami akan sambung beraya di rumah keluarga suami di Gua Musang sebelum kembali semula ke Johor," katanya ketika ditemui, di sini.

Keterujaan sama turut dirasai pekerja kedai makan di Seremban, Negeri Sembilan, Azmi Awang Mat, 40, yang akan pulang beraya di kampungnya di Takbhai selepas mendapat cuti selama seminggu.

Dia bersama isterinya, Nazihah Mail, 30, tidak sabar untuk berbuka puasa bersama keluarga kerana belum lagi berpeluang berbuat demikian sepanjang Ramadan.

"Keterujaan untuk pulang beraya di kampung sentiasa dirasai setiap tahun walaupun sudah hampir 20 tahun saya mencari rezeki di Malaysia dan tidak sabar untuk berjumpa dengan sanak saudara," katanya.

Bagi Nurida Jusoh, 27, pula kedai makan yang diusahakan kakaknya di Gua Musang sudah ditutup bermula hari ini untuk memberikan cuti kepada semua pekerja selama seminggu.

"Separuh daripada pekerja adalah warga Thailand termasuk saya sendiri dan kami mula pulang ke kampung hari ini kerana diberi cuti selama seminggu.

"Saya akan beraya bersama keluarga dan tidak sabar untuk menggayakan pakaian baharu yang dibeli (di Malaysia) kerana harga lebih murah disebabkan mata wang Thailand agak tinggi berbanding Ringgit Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 2:47 PM
Sebahagian  warga Thailand beratur untuk urusan pulang beraya di kampung halaman di jeti feri dan bot di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Pengkalan Kubor. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Sebahagian warga Thailand beratur untuk urusan pulang beraya di kampung halaman di jeti feri dan bot di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Pengkalan Kubor. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR