AKTIVITI perniagaan di Kompleks Hentian Bas MBKT semakin suram kerana kekurangan pengunjung. FOTO Nazdy Harun
AKTIVITI perniagaan di Kompleks Hentian Bas MBKT semakin suram kerana kekurangan pengunjung. FOTO Nazdy Harun
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sedang mencari alternatif terbaik untuk membantu peniaga di Kompleks Hentian Bas MBKT meningkatkan hasil jualan mereka.

Datuk Bandar MBKT Rosli Latiff berkata, keluh-kesah peniaga di kompleks itu sememangnya dalam perhatian dan pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian terbaik.

Katanya, pihaknya maklum mengenai dilema peniaga yang tidak menerima pengunjung susulan tarikan di premis perniagaan lain berhampiran.

"Ada beberapa perkara yang dalam perancangan kita untuk membantu mereka ini meningkatkan pendapatan dan memajukan kembali kompleks berkenaan.

"Selain bantu dari segi promosi kompleks itu dan barang jualan peniaga, kita turut memikirkan kemungkinan untuk memindahkan mereka ke lokasi lain.

"Namun semuanya masih dalam perancangan kerana ia membabitkan pelbagai pihak dan sebolehnya kita mahu semua pihak yang terbabit mendapat manfaat daripada keputusan yang dibuat," katanya ketika dihubungi.

Rosli mengakui aktiviti perniagaan di kompleks berkenaan semakin suram kerana kekurangan pengunjung yang beralih ke pusat komersial lain.

LAPORAN Harian Metro, 17 April 2023. FOTO Arkib NSTP
LAPORAN Harian Metro, 17 April 2023. FOTO Arkib NSTP

"Keadaan sekarang tidak sama seperti dulu yang mana ketika itu tidak ada banyak premis perniagaan di sini, berbanding sekarang yang menyebabkan kompleks ini kurang menjadi pilihan.

"Di pihak MBKT, kita cuba sedaya upaya bantu peniaga kerana kita tahu kebanyakan daripada peniaga bergantung sepenuhnya kepada aktiviti jualan di kompleks ini.

"Selain itu, kita juga akan melihat kepada penambahbaikan infrastruktur di sana selain penjenamaan semula kompleks dan sekitarnya supaya ia kembali meriah," katanya.

Beliau berkata, semua rancangan itu akan mengambil masa dan pihaknya akan cuba sedaya mungkin melaksana penyelesaian awal yang boleh disegerakan demi membantu peniaga.

Semalam, kira-kira 400 peniaga Kompleks Hentian Bas MBKT dilapor mengeluh mengenai premis perniagaan itu yang kian sepi sejak 2012 dan menjejaskan pendapatan mereka.

Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi melalui e-mel Suara Anda, Kami Dengar di [email protected]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 7:01 AM