LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Redzuan Muharam


Kajang: "Terlalu ramai rakan dan saudara mara yang beri sokongan sampai ke hari ini termasuk kenalan ibu bapa sekolah rendah, agama juga tadika tempat Aydan belajar dulu," kata Muhamad Afiq Rosli.

Muhamad Afiq, 33, memberi reaksi itu susulan kisah anaknya, Aydan Hadiff yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 5 April lalu.

Menurut Muhamad Afiq, dia menghargai sokongan, kata semangat dan doa dititipkan orang ramai serta individu terdekat kepadanya sekeluarga.

"Kami ucapkan ribuan terima kasih kepada semua termasuk pembaca Harian Metro yang mendoakan Aydan Hadiff.

"Tak lupa juga kepada Harian Metro yang berkongsi kisah anak syurga kami. Insya-Allah, kami reda dengan ketentuan-Nya. Semoga arwah menjadi tiket kami ke syurga," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi perkembangan terkininya, Muhamad Afiq berkata, dia masih menerima rawatan di wad Hospital Serdang, Selangor.

"Buat masa ini, saya bergantung kepada pil tahan sakit dan Insya-Allah akan berlatih guna tongkat esok.

"Tak pasti lagi bila akan keluar wad kerana belum ada makluman daripada doktor," katanya.

Sementara itu, isterinya, Nor Hazwani Amir Hamzah, 33, juga terharu dengan sokongan diterima daripada orang ramai selepas kisah Aydan Hadiff disiarkan di Harian Metro.

"Sampai ke hari ini, masih ramai yang mendoakan, Alhamdulillah. Ada juga sumbangan daripada sahabat, kenalan dan keluarga.

"Insya-Allah, kami semua reda dan tahu Aydan sedang gembira di sana," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Aydan Hadiff yang meninggal dunia kerana kerana pendarahan dalaman di otak dan bahagian abdomen selepas terbabit dalam kemalangan pada 4 April lalu.

Kemalangan berlaku motosikal dinaiki Aydan Hadiff bersama ibu dan bapanya bertembung dengan motosikal lain ketika mereka dalam perjalanan ke Masjid Al-Umm, Seksyen 1, Bangi, di sini untuk menunaikan solat tarawih.

Kisah itu meruntun hati netizen selepas Nor Hazwani berkongsi perbualan dan hasil lukisan Aydan Hadiff menerusi hantaran di Facebook (Fb) yang seolah-olah memberi petanda anak tunggalnya akan pergi buat selamanya.

Ia kerana dalam lukisan itu, Nor Hazwani dan suami, Muhamad Afiq dilihat terbaring dengan Aydan Hadiff juga baring tidak jauh dengan mereka tetapi dalam keadaan badan berbalut.

Selepas pemergian Aydan Hadiff, baru Nor Hazwani sedar yang balutan pada badan anaknya itu rupanya membawa maksud kain kafan dan bukan kain bedung seperti disangka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 2:53 PM