Kondominium PV12, Jalan Langkawi, Setapak. FOTO GOOGLE MAP
Kondominium PV12, Jalan Langkawi, Setapak. FOTO GOOGLE MAP
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Ditemui mati terjatuh dari tingkat lima sebuah kondominium ketika pulang dari mengaji.

Itu nasib malang menimpa seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang ditemui terbaring di tingkat bawah kondominium PV12, Jalan Langkawi, Setapak di sini.

Dalam kejadian jam 7.40 malam tadi, penduduk di kondominium itu dikatakan terkejut apabila terdengar dentuman kuat ketika sedang berbuka puasa.

Mereka kemudian menemui tubuh seorang kanak-kanak warga Somalia dalam keadaan tidak sedarkan diri

dipercayai terjatuh dari tingkat lima di blok B kondominium berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan Saralathan Duraisamy berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.49 malam.

"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan patah kedua-dua tangan serta terdapat kesan darah keluar dari telinga. Mangsa yang ditemui lengkap berpakaian disahkan mati oleh pegawai perubatan di lokasi.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa tinggal di blok B dan pergi mengaji di blok A di kediaman itu. Mangsa kemudian pulang ke rumah melalui tingkat 5 (laluan yang menghubungkan blok A dan blok B).

"Mangsa dipercayai memanjat tingkap dan terjatuh selepas gagal keluar dari pintu yang memerlukan kad akses," katanya tadi.

Saralathan berkata, mangsa tinggal bersama ibunya.

"Kedua-dua mereka adalah warga Somalia yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sejak tahun 2017.

"Individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 039289922, Hotline Polis Kuala Lumpur 0321159999 atau balai berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 2:30 PM