FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI), pekerja dan pelajar asing di negara ini dilihat sebagai peluang besar kepada segelintir penguat kuasa yang tidak berintegriti untuk mengaut rasuah di negara ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, tidak kira sama ada mereka ini mempunyai permit kerja, visa pelajar apatah lagi `kosong' tanpa permit dan berstatus PATI, kumpulan ini sering menjadi sasaran kepada penguat kuasa.

"Sungguh menyedihkan dan pahit untuk ditelan, namun inilah kejadian yang sering dihadapi oleh golongan warga asing.

"Inilah hakikat yang berlaku dan mendatangkan imej yang amat buruk kepada Malaysia. Tahap korupsi anggota penguat kuasa selaku barisan hadapan keselamatan negara dilihat semakin kronik dan membimbangkan.

"Slogan `Malaysia Boleh' dijadikan sindiran sinis yang membawa pengertian yang cukup memedihkan... yang mana semua perkara boleh diselesaikan dengan membayar rasuah. Justeru itu, tidak hairan Malaysia menjadi antara tumpuan pekerja asing mendapatkan pekerjaan, pusat transit dadah di rantau Asia Tenggara, pusat penipuan dan pelaburan palsu antarabangsa, judi online, macau scam, pelacuran antarabangsa dan sebagainya," katanya tadi.

Menurutnya, masyarakat sering menolak dan menidakkan realiti serta mencari pelbagai alasan untuk menafikannya.

"Komen yang biasa kita dengar `ia adalah kejadian terpencil' sudah tidak mampu dijadikan alasan menidakkan realiti bagaimana rakusnya anggota penguat kuasa dalam perkara ini.

"Rasuah berlaku dalam setiap inci kehidupan seorang pendatang asing ke negara ini. Antaranya termasuk dalam proses-proses seperti permohonan kuota pekerja asing oleh syarikat-syarikat. Bagi memperolehi kuota ini, syarikat-syarikat terpaksa membayar rasuah untuk memastikan kelulusan kuota dari segi jumlah pekerja asing yang dibawa masuk," katanya.

Menurutnya, rasuah turut berlaku membabitkan peranan ejen-ejen pekerja asing yang mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan mengenakan pelbagai yuran proses termasuk visa dan permit kerja.

"Merasuah penguat kuasa di pintu-pintu masuk negara untuk mempercepatkan proses keluar dan masuk bagi pendatang asing yang tinggal melebihi tempoh, terbabit dengan jenayah, disenarai hitam, tidak memenuhi syarat-syarat kemasukan dan sebagainya.

"Selain itu penyalahgunaan visa-visa pelajar asing bagi tujuan bekerja, berniaga dan terbabit dalam aktiviti tidak bermoral turut mengundang rasuah membabitkan anggota penguatkuasa," katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya.

Ahmad Khusairi berkata, rasuah turut berlaku membabitkan aktiviti melindungi kegiatan pelacuran, rumah urut, perjudian dan macau scam yang kebanyakan pekerjanya terdiri daripada warga asing.

"Turut dikaitkan dengan rasuah adalah tindakan memonopoli sektor-sektor perniagaan secara tanpa lesen atau menggunakan premis dan lesen perniagaan rakyat tempatan. Rasuah turut berlaku membabitkan warga asing bekerja di sektor-sektor pembinaan, perladangan, perniagaan dan perkhidmatan secara tidak sah.

"Selain itu gejala suapan berlaku bagi kes mendapatkan kerakyatan dan sijil beranak dengan membayar rasuah selain memandu tanpa lesen yang sah," katanya.

Beliau berkata, rasuah turut dikesan membabitkan tekong-tekong darat yang menyeludup pendatang tanpa izin masuk melalui lorong-lorong tikus seperti laut, hutan dan sempadan negara.

"Selain itu, SPRM mengesan pasti aktiviti rasuah berlaku membabitkan penerokaan tanah secara haram untuk tujuan penginapan dan pertanian, aktiviti perlombongan secara haram, penyeludupan barang larangan termasuk dadah, senjata api, barangan kawalan seperti petrol, tepung, gula dan minyak masak.

"Wujud juga Rasuah jalanan bagi mengelakkan sebarang bentuk tindakan walaupun mempunyai dokumen yang lengkap selain rasuah bagi mendapatkan darjah kebesaran dan status sosial dalam masyarakat," katanya.

Tambahnya, jenayah pemberian suapan turut membabitkan nelayan asing yang merompak kekayaan hasil laut dengan menceroboh lautan negara selain gadis pelayan pelanggan (GRO), tukang urut, pelacuran di pusat hiburan dan spa.

"Ini adalah sebahagian dari kesalahan-kesalahan yang berlaku membabitkan pendatang asing di negara ini. "Secara tidak langsung, ia juga mewujudkan ruang dan peluang kepada anggota-anggota penguat kuasa untuk mengutip rasuah secara kecil-kecilan, bulanan mahupun bersindiket.

"Isu kebanjiran pendatang asing di negara ini tidak boleh dilihat sebagai perkara remeh. Kesannya amat buruk kerana ia membabitkan masalah sosial, jenayah, kesihatan dan keselamatan negara," katanya.

Beliau berkata, pendedahan SPRM menerusi Op Tropicana, Op Bolos KLIA 1 & 2, Op Lancar dan beberapa siri operasi lain membuktikan isu ini serius dan memerlukan tindakan tegas agensi-agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 1:01 PM