AMRAN Hazali (kanan) dan  Ahmad Zakiyuddin menunjukkan replika cek tertera jumlah sumbangan program Nur Ramadan yang akan diagihkan kepada asnaf terpilih seluruh Pulau Pinang. FOTO Nur Izzati Mohamad
AMRAN Hazali (kanan) dan Ahmad Zakiyuddin menunjukkan replika cek tertera jumlah sumbangan program Nur Ramadan yang akan diagihkan kepada asnaf terpilih seluruh Pulau Pinang. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Zakat Pulau Pinang (ZPP) akan mengagihkan sumbangan tunai dan hamper berupa barangan keperluan harian bernilai RM4.028 juta kepada 4,261 asnaf di negeri itu sempena program Nur Ramadan bagi tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP Datuk Amran Hazali berkata, pihaknya sekali lagi menaikkan jumlah sumbangan tunai yang diterima setiap asnaf kepada RM700 berbanding RM600 tahun sebelumnya.

Menurutnya, beliau berharap dengan peningkatan jumlah sumbangan tunai berserta pemberian hamper berupa barangan keperluan harian bernilai RM100, ia dapat meringankan beban penerima sepanjang Ramadan ini.

"Ini adalah tahun kedua kita (ZPP) menaikkan jumlah sumbangan tunai kepada asnaf yang layak menerimanya.

"Kita percaya, jumlah ini mencukupi untuk mereka berbelanja apa yang perlu sepanjang Ramadan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serahan Bantuan Nur Ramadan di Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam di sini, semalam.

Majlis disempurnakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) merangkap Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Hampir 500 penerima dari Seberang Perai Utara menerima agihan Nur Ramadan masing-masing dengan sebahagian daripada sumbangan wang tunai dikreditkan terus ke akaun simpanan mereka.

Agihan di Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan, Timur Laut dan Barat Daya akan dibuat secara berperingkat.

Amran berkata, penerima Nur Ramadan adalah mereka yang menerima bantuan kewangan serta makanan secara bulanan ZPP.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, ZPP membelanjakan lebih RM4 juta bagi tujuan berkenaan yang mana RM2.778 juta bagi sumbangan tunai manakala jumlah selebihnya iaitu RM1.25 juta lagi membabitkan pemberian hamper.

"Kita berharap dengan agihan yang dibuat ini akan memberi sinar kebahagiaan kepada golongan yang kurang berkemampuan khususnya fakir dan miskin di seluruh Pulau Pinang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 1:25 PM