DATUK Teng Chang Khim (tengah) selepas sidang media di SUK. FOTO Ruwaida Md Zain
DATUK Teng Chang Khim (tengah) selepas sidang media di SUK. FOTO Ruwaida Md Zain
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2023 dijangka menampilkan lebih 30 pelbagai pesawat kepada pengunjung di Skypark Regional Aviation Centre (RAC), Subang pada 7 hingga 9 September nanti.

Program edisi ke-3 anjuran Invest Selangor Berhad yang dihoskan oleh kerajaan negeri itu menjadi acara rangkaian kepada pemain industri aeroangkasa terutamanya penerbangan am dan perniagaan sejak 2021di rantau ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan & Perindustrian dan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Khim berkata, acara itu akan menampilkan pempamer tempatan dan antarabangsa yang mempamerkan produk dan perkhidmatan terkini dalam segmen penerbangan am dan perniagaan, pesawat sukan dan rekreasi, helikopter serta segmen dron.

"SAS 2023 menyasar untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya 50 peserta pameran yang mewakili industri aeroangkasa dan penerbangan terbaik dunia, mempamerkan pesawat mereka di atas landasan atau di gerai pameran pada acara itu.

"SAS 2023 mensasarkan kira-kira 30 hingga 40 pesawat bergantung kepada saiz pesawat yang mana kita akan mengimbanginya dengan saiz tempat pameran berkenaan," katanya dalam sidang media di Bangunan SUK, di sini, hari ini.

Chang Khim berkata, betemakan 'The One & Only Business & General Aviation Show in the Region', SAS 2023 direka sebagai satu lagi inisiatif berpandangan ke hadapan oleh kerajaan negeri kepada semua pihak berkaitan.

"Acara ini memberikan peluang kepada semua pihak berkepentingan yang berkaitan untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan, rangkaian, dialog, berkongsi pengetahuan dan tawaran mereka yang sediakan bagi menggiatkan semula industri.

"Selain itu, antara program yang dirancang semasa SAS 2023 adalah forum industri, pembentangan, aktiviti rangkaian dan sesi pendidikan khusus.

"Terdapat juga pameran kerjaya untuk pelajar institusi pengajian tinggi dalam bidang penerbangan serta persembahan termasuk beberapa aktiviti untuk kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata, pada tahun ini SAS 2023 menyasar sekurang-kurangnya 12,000 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.

"Pengunjung perdagangan yang berminat boleh merancang lawatan mereka ke SAS 2023 selama tiga hari, manakala orang ramai yang berumur lima tahun ke atas dan pelajar digalakkan untuk melawat pada hari ketiga acara itu," katanya.

Beliau berkata, pemain industri yang berminat yang berhasrat menyertai SAS 2023 boleh menghubungi sekretariat di Invest Selangor sebelum 31 Mei untuk menikmati diskaun 5 peratus bagi pendaftaran awal (early bird).

"Peserta pameran (pernah menyertai sebelum ini) juga boleh menikmati diskaun 10 peratus untuk penyertaan mereka.

"Pelawat yang merancang untuk melawat, dinasihatkan untuk merancang lawatan mereka dengan mendaftar dan memilih tarikh pilihan mereka di https://selangoraviationshow.com," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 3:17 PM