SEORANG individu dikenali sebagai Datuk Roy (kanan) bersama seorang lagi yang ditahan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
SEORANG individu dikenali sebagai Datuk Roy (kanan) bersama seorang lagi yang ditahan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Lelaki dikenali Datuk Roy dan seorang bekas Timbalan Pendaftar Mahkamah yang direman bagi membantu siasatan berhubung program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa), dilepaskan hari ini dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam bela kedua-dua lelaki berkenaan, Fahmi Abd Moin, berkata Majistret Mahkamah Putrajaya, Irza Zulaikha Rohanuddin, membenarkan anak guam dilepaskan masing-masing dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Keputusan majistret susulan permohonan pihak SPRM supaya lelaki terbabit dilepaskan dan tiada lagi lanjutan reman.

"SPRM sudah mendapatkan keterangan yang diperlukan daripada kedua-dua orang yang disyaki itu dan mereka memberikan kerjasama dalam siasatan.

"SPRM sudah merakam semua keterangan saksi berkepentingan dan anak guam boleh dipanggil pada bila-bila masa untuk siasatan lanjut jika perlu.

"Peguam bela mengucapkan terima kasih kepada SPRM dan akan memastikan kedua-dua lelaki itu hadir pada bila-bila masa untuk membantu siasatan," katanya pada BH, hari ini.

Datuk Roy ditahan ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 di pejabat SPRM di sini, jam 3 petang, 13 Mac lalu.

Majistret Kuala Lumpur, Noorelynna Hanim Abd Halim, kemudian membenarkan lelaki berusia 54 tahun itu direman tiga hari dan melepaskan suspek dengan jaminan SPRM pada Khamis lalu.

Pada hari sama, Datuk Roy ditahan semula sebelum Mahkamah Majistret Putrajaya menyambung reman empat hari lagi berakhir hari ini.

Sebelum ini, Datuk Roy diburu SPRM kerana didakwa menjadi perancang utama dalam siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan membabitkan program Jana Wibawa.

Empat individu termasuk seorang pegawai SPRM ditahan, namun dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berkenaan atas tujuan sama.

Datuk Roy yang beralamat di Kuantan, Pahang, pernah dipenjara kerana terbabit kes rasuah.

Bekas Timbalan Pendaftar itu pula ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur, jam 9.30 malam, Jumaat lalu, sebelum direman selama tiga hari berakhir hari ini.

Suspek berusia 50-an itu disyaki cuba bersubahat meminta wang suapan berjumlah kira-kira RM2 juta, bagi membantu menyelesaikan kes siasatan SPRM terhadap seorang ahli perniagaan yang sudah dituduh berkaitan projek itu.

Lelaki itu dipercayai meminta suapan sebagai balasan seperti meminta pihak SPRM menukar keterangan tertuduh kepada saksi dan menukar pertuduhan rasuah kepada pertuduhan alternatif.

Suspek pernah bertugas sebagai Timbalan Pendaftar Mahkamah di Putrajaya, sebelum bersara pada Disember 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 3:45 PM