Pasar raya Econsave Cash And Carry (Econsave) tampil menyampaikan sumbangan barangan keperluan bernilai RM50,000 kepada mangsa banjir di Johor.
Pasar raya Econsave Cash And Carry (Econsave) tampil menyampaikan sumbangan barangan keperluan bernilai RM50,000 kepada mangsa banjir di Johor.
Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: Bagi meringankan beban mangsa banjir di negeri ini, pasaraya Econsave Cash And Carry (Econsave) tampil menghulurkan bantuan pelbagai barangan keperluan bernilai RM50,000.

Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam berkata, turut serta dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu kira-kira 50 kakitangan pasar raya yang turut melaksanakan kerja-kera sukarela termasuk pembersihan.

"Atas rasa prihatin dan tanggungjawab Econsave melaksanakan CSR dengan membantu mereka yang terjejas akibat kejadian banjir baru-baru ini.

"Sebelum ini kami turut turun ke Batu Pahat bagi memberi 1,000 selimut percuma kepada mangsa banjir selain memberi 40 bungkusan barangan dapur ke Perkampungan Orang Asli di Kahang, Kluang.

"Kami juga turun ke Sri Medan yang juga antara kawasan paling teruk terjejas akibat banjir dan mengedarkan 200 bungkusan barangan keperluan harian.

"Kali ini, kakitangan Econsave bersama penduduk setempat turut bergotong-royong membersihkan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Dayong, Sri Medan dan sebuah surau," katanya.

Mas Imran berkata, pihaknya komited untuk meneruskan misi bantuan kepada masyarakat yang memerlukan dari masa ke masa tidak kira dalam atau luar negara.

"Econsave turut menyertai misi bantuan ke pelbagai negara antaranya Lebanon, Turkiye dan Syria.

"Pada 2020 Econsave pernah memberi sumbangan sebanyak RM100,000 bagi pembinaan masjid di Lombok Indonesia yang ranap akibat gempa bumi," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Seri Dayong Yazid Mahzan berkata, menghargai bantuan semua pihak termasuk Econsave yang memberi bantuan kepada penduduk kampung dan sekolah.

"Pihak Econsave bersama kakitangannya hadir bersama peralatan pembersihan berjaya membersihkan empat kelas dan bersedia untuk digunakan apabila sesi persekolahan bermula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 12:54 PM