Datuk Dr Mohd Na’im Mokthar. FOTO SYAIFUL RAZIQ
Datuk Dr Mohd Na’im Mokthar. FOTO SYAIFUL RAZIQ
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Cadangan mewujudkan mufti besar perlu diteliti kerana pengurusan dan pentadbiran agama Islam terletak di bawah bidang kuasa setiap negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar cadangan itu akan diteliti namun pelaksanaannya bergantung kepada penerimaan semua pihak.

"Seperti mana sedia maklum kuasa agama termasuk fatwa dan mewujudkan jawatan fatwa iaitu mufti itu sendiri adalah kuasa negeri.

"Sebagai contoh di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) ada mufti yang menasihat Yang di-Pertuan Agong manakala mufti negeri menasihat sultan negeri masing-masing," katanya.

Beliau mengulas cadangan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim supaya melantik Menteri Agama sebagai 'mufti besar' seperti yang diamalkan di beberapa negara termasuk Indonesia.

Terdahulu Mohd Nai'im ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Masjid dan Surau Jumaat WPKL, Penyampaian Bantuan Ihya Ramadan dan Tauliah Amil Zakat Fitrah 1444H/2023M di Masjid Wilayah di sini, hari ini.

Terdahulu, Shahidan dilaporkan berkata, langkah melantik mufti besar perlu bagi membolehkan hal ehwal agama Islam diselaras dengan baik.

Beliau dipetik berkata, ketiadaan penyelaras mengenai hal agama Islam itu menimbulkan syarat dan ketetapan yang berbeza dilakukan negeri-negeri.

Sementara itu, ditanya cadangan untuk akta berkaitan menghina agama Islam dipinda, Mohd Nai'im berkata, satu perbincangan akan diadakan bersama Jabatan Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk meneliti dan memperhalusinya.

"Kita akan bawa untuk perbincangan dan saya akan dapatkan laporan daripada penasihat und-undang jakim sejauh mana boleh buat pemindaan kepada seksyen tertentu," katanya.

Katanya, ia bagaimanapun masih di peringkat usul.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 3:26 PM