Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Pelancong lelaki warga Korea ditemui mati dalam bilik hotel di Jalan Coastal, di sini, hari ini.

Mayat lelaki berusia 45 tahun itu ditemui terbaring di lantai oleh penghuni hotel yang melalui hadapan bilik mangsa pada 8.25 pagi.

Sumber berkata, penghuni hotel itu melihat mangsa tidak sedarkan diri dan memaklumkan kejadian kepada pekerja hotel.

"Ketika itu, pintu bilik mangsa dalam keadaan terbuka dan dipercayai sudah terbuka sejak semalam.

"Mangsa mendaftar masuk ke hotel itu dipercayai bersendirian pada 28 Februari lalu," katanya hari ini.

Menurut sumber itu, pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa membuka pintu biliknya pada 10.15 malam dan dilihat memandang ke arah luar bilik.

"Selepas itu mangsa masuk semula ke dalam bilik tanpa menutup pintu biliknya. Tiada individu lain yang dilihat keluar dan masuk ke dalam bilik mangsa," katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, siasatan oleh pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mendapati tiada unsur jenayah dan pemeriksaan tidak menemui kesan pergelutan mahupun kecederaan di tubuh mangsa.

"Tiada barang mangsa yang hilang dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 9:37 PM