GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan akan meneliti cadangan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah bidang kuasa Parlimen, dan bukan lagi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan amat terbuka akan pandangan dan saranan disuarakan daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Yang Berhormat bagi meningkatkan keberkesanan SPRM.

"Perkara ini akan diteliti oleh pihak berkaitan bagi tindakan yang sewajarnya," katanya menerusi jawapan lisan yang disiarkan laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah kerajaan berhasrat untuk membawa SPRM ke bawah bidang kuasa Parlimen.

Cadangan itu dibangkitkan susulan gesaan ramai pihak wujud pendakwaan terpilih ke atas pemimpin parti politik tertentu.

Pelbagai pihak yang mencadangkan supaya SPRM diletakkan di bawah seliaan Parlimen, dengan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu ditentukan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen, sebelum dipilih oleh 222 Ahli Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 3:46 PM