GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuantan: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran ramalan banjir di beberapa kawasan dalam daerah Rompin yang dijangka berlaku esok.

Berdasarkan kenyataan hari ini, banjir diramal berlaku jika hujan yang signifikan terus berlaku di Felda Selancar dan kawasan sekitarnya bermula 6 pagi esok disusuli di jambatan Kampung Kedaik serta kawasan sekitarnya dua jam kemudian.

Kawasan lain ialah Kampung Buluh Nipis dan Kampung Rekoh Baru serta kawasan sekitarnya, dengan jangkaan air mulai naik masing-masing pada 6 petang dan 8 malam.

Kawasan Sungai Anak Endau di Rumah Pam Setajam pula dijangka mengalami banjir bermula 8 pagi, Khamis ini.

Semua kawasan banjir ini merupakan kawasan berhampiran Sungai Pukin, Sungai Gayung, Sungai Jeram, Sungai Keratong dan Sungai Anak Endau.

"Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.

"Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan penduduk berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir," menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh melayari laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut mengenai banjir.

Sementara itu, JPS turut mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir membabitkan empat daerah di Johor, bermula tengah malam ini.

Menerusi amaran banjir dikeluarkan PRABN JPS pada 12.30 tengah hari ini, jabatan berkenaan memaklumkan ramalan itu susulan amaran hujan berterusan (waspada) oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pada 12.15 tengah malam tadi dan hasil simulasi model ramalan banjir.

Notis itu menyatakan bencana itu diramalkan boleh berlaku lebih awal atau pun lewat dari masa yang dijangkakan.

"Di Johor Bahru, kawasan berisiko terjejas ialah Jalan Sungai Tiram, Kampung Kangkar Sungai Tiram dan kawasan sekitarnya, manakala bagi daerah Kluang pula di Kampung Mengkibol, Kampung Baharu, Sungai Kahang di Batu 26 Jalan Kluang, Pekan Layang-Layang, Kampung Orang Asli Sedohok dan kawasan sekitarnya," menurut kenyataan itu.

Manakala di daerah Kota Tinggi, meliputi Kampung Semanggar dan Kampung Sungai Telor serta kawasan sekitarnya sementara di Kulai pula, kawasan berisiko ialah Sungai Siam di Kampung Sungai Siam dan kawasan sekitarnya.

"Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan penduduk terutamanya di kawasan dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir," menurut kenyataan JPS itu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 4:49 PM