Izz Laily Hussein

Pasir Gudang: Pemilihan Umno 2023 yang berlangsung bulan depan bertujuan membentuk satu pasukan yang boleh memulihkan parti itu dan bukan melonjak atau membawa kegemilangan individu tertentu.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia menjadi proses dalaman parti yang mana matlamat akhir adalah kemenangan untuk Umno.

"Kita melihat ini sebagai satu proses dalaman parti untuk melahirkan kepimpinan yang kuat dan dapat membantu parti menangani pelbagai cabaran.

"Kita sedar, kedudukan Umno tidak seperti dulu, maka kita perlu meletakkan asas-asas yang betul dalam soal hendak memulihkan Umno, bukan melonjakkan dan membawa kegemilangan seseorang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Biasiswa Perpaduan My Binary, Universiti Binary di Dewan Muafakat Sierra Perdana, Taman Sierra Perdana di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat pilihan yang terbaik.

Pada masa sama, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi turut memaklumkan bahawa beliau menawarkan diri sebagai calon bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang, selain jawatan Naib Presiden Umno.

MOHAMED Khaled selepas merasmikan Biasiswa Perpaduan My Binary, Universiti Binary di Dewan Muafakat Sierra Perdana. FOTO Izz Laily Hussein
MOHAMED Khaled selepas merasmikan Biasiswa Perpaduan My Binary, Universiti Binary di Dewan Muafakat Sierra Perdana. FOTO Izz Laily Hussein

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 2:30 PM