Amir Abd Hamid

Petaling Jaya: Tindakan pembekuan akaun parti politik untuk tujuan penyiasatan bukanlah amalan baru dilaksanakan di negara ini, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Merujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), baru-baru ini, Anwar berkata, tindakan sama pernah dilalui oleh Umno.

Beliau berkata, semasa tindakan beku akaun itu dilakukan kepada Umno, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah individu yang memberi sokongan kuat berhubung tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Soal pembekuan akaun parti politik bukan (perkara) baru. Semasa akaun parti Umno dibekukan, Tan Sri Muhyiddin memberi sokongan yang kuat mempertahankan tugas profesionalisme SPRM.

"Sekarang pembekuan itu dilakukan terhadap akaun Bersatu kerana jumlahnya besar dan dikaitkan juga dengan beberapa tindakan keputusan kerajaan di bawah pimpinan beliau," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan pengerusi biro PKR di Ibu Pejabat parti itu di sini, hari ini.

Anwar yang juga Presiden PKR serta Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menyeru supaya sepatutnya pihak Bersatu bersiap sedia untuk memberikan penjelasan di mana yang perlu dan tidak mengganggu badan penguatkuasaan membuat siasatan.

"Jangan diganggu sama ada PDRM (Polis Diraja Malaysia) atau LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) atau pun SPRM... dan kemudiannya andai kata ada pendakwaan, biar badan kehakiman bertindak secara bebas.

"Saya buat seruan ini kerana saya lihat kadang-kadang digunakan alasan agama yang remeh. Mana mungkin saudara, mana-mana agama digunakan untuk mempertahankan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

"Apa lagi Islam yang tegas menolak penyalahgunaan kuasa dalam sistem yang berpunca terutamanya dari rasuah yang bermaharajalela di negara kita. Itu gesaan saya supaya tidak perlu kita menekankan hal ini berulang-kali," katanya.

ANWAR (kiri) pada sidang media  di ibu pejabat PKR. FOTO Saifullizan Tamadi
ANWAR (kiri) pada sidang media di ibu pejabat PKR. FOTO Saifullizan Tamadi

Beliau berkata, semua parti politik menguar-uarkan pihak mereka adalah bersih dan mahukan kerajaan yang bersih.

"Beri ruang kepada badan penguatkuasaan ini bertindak dengan tegas. Kalau bersih tidak rasuah, usah berasa takut.

"Sepatutnya kita sokong. Bagaimana harus kita bersihkan (kekotoran dan penyelewengan) kalau tidak kita berikan wewenang dan kuasa yang lebih kepada badan penguatkuasaan untuk menjalankan dan menyempurnakan tugas mereka," katanya.

Berita berkaitan:

Beku akaun: Bersatu mungkin ambil tindakan undang-undang [METROTV]

'Jika tiada wang macam mana nak bayar sewa, gaji' - Muhyiddin [METROTV]

Pembekuan akaun Bersatu hanya di peringkat pusat - Razali

Akaun bank dibekukan, Bersatu beri kerjasama penuh kepada SPRM

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 7:07 PM