Zaid Salim


Dungun: "Saya sempat bertemu dengan arwah jam 6.30 petang semalam. Ketika itu dia mengadu sakit perut," kata Manan Ngah, 62, adik kepada kartunis Fatah Ngah, 70, yang meninggal dunia akibat sakit tua.

Manan yang juga komposer terkenal tanah air berkata, petang semalam, adik perempuannya, Laili, 50, memberitahu terdapat cecair hitam seakan muntah keluar daripada mulut arwah.

Bagaimanapun, katanya cecair itu tidak mengeluarkan sebarang bau dan mengesyaki ia tanda awal sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir jam 1.45 pagi tadi.

Manan berkata, arwah adalah anak ketiga daripada tujuh beradik menghidap sakit saraf dan terlantar sejak lebih lima tahun lalu.

Katanya, sebelum ini arwah tinggal bersama ibu, Kelesom Ibrahim tetapi selepas wanita itu meninggal dunia pada 2017, arwah dijaga adik bongsu, Laili.

"Pemergian arwah meninggalkan banyak kenangan buat kami adik-beradik, arwah abang jugalah yang mengajar saya bermain gitar.

"Selain dikenali sebagai kartunis yang popular dengan karya Lagak A Mamud pada era 80-an, arwah juga aktif menghasilkan lukisan selain berkebolehan bermain pelbagai jenis alat muzik," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya, Kampung Nibong, di sini, hari ini.

Allahyarham Fatah selamat dikebumikan jam 12 tengah hari tadi.

Sementara itu, Laili berkata, dia menyedari cecair hitam keluar daripada mulut arwah ketika pulang ke rumah di Kampung Alur Tembesu, di sini, jam 6.30 petang.

"Ketika itu saya ke Kuala Terengganu dan terkejut melihat keadaan abang, saya memberitahu Manan yang tinggal berjiran.

"Dalam keadaan begitu arwah boleh bercakap seperti biasa dan mengadu sakit perut dan susah membuang air besar.

"Saya bercadang membawanya ke hospital namun dia enggan," katanya.

Laili berkata, sebelum meninggal, dia sempat memberikan ubat sembelit kerana arwah mendakwa sukar membuang air besar itu disebabkan sembelit.

"Saya memberinya ubat kira-kira jam 12 tengah malam sebelum arwah meninggal dunia jam 1.45 pagi tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 4:40 PM
MANAN menyiram pusara arwah abangnya, Fatah Ngah yang meninggal dunia akibat sakit tua. FOTO Zaid Salim
MANAN menyiram pusara arwah abangnya, Fatah Ngah yang meninggal dunia akibat sakit tua. FOTO Zaid Salim