DATUK Sabariah Saidan (kiri) dan Datuk Zulkhairi Zainol Abidin pada program Pahang Memperkasa OKU 2023. FOTO Mohd Rafi Mamat
DATUK Sabariah Saidan (kiri) dan Datuk Zulkhairi Zainol Abidin pada program Pahang Memperkasa OKU 2023. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Kerajaan negeri wujudkan Majlis Penasihat Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam usaha membela nasib golongan berkenaan menerusi peruntukan sebanyak RM150,000 setahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Wanita dan Keluarga Pahang Datuk Sabariah Saidan berkata, menjadi hasrat kerajaan untuk memastikan kebajikan dan kesihatan golongan OKU di negeri itu sentiasa terbela.

Menurutnya, Majlis Penasihat OKU terbabit berperanan menyelia pelaksanaan dasar OKU selain membuat cadangan berhubung seperti sokongan, penjagaan, perlindungan, rehabilitasi, advokasi, pembangunan dan kesejahteraan golongan terbabit.

Katanya, matlamat penubuhan Majlis Penasihat OKU itu selaras dengan Dasar Orang Kurang Upaya, Pelan Tindakan Nasional Orang Kurang Upaya dan Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya.

"Usaha kolektif perlu dibuat menggunakan pendekatan multi-sectoral dan multicollaboration dengan kerjasama agensi berkaitan.

"Tahun lalu, kerajaan negeri meluluskan beberapa peruntukan kepada golongan OKU antaranya pembelian peralatan pemulihan kepada 52 Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di negeri ini dengan kos RM520,000 yang bertujuan unuk meningkatkan potensi pemulihan OKU dan mengelakkan kecacatan menjadi lebih teruk.

"Kita juga turut menyediakan sumbangan sekali bayar (one off) RM250 kepada seramai 300 Penyelia dan Petugas PDK," katanya pada program Pahang Memperkasa OKU 2023 di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang Datuk Zulkhairi Zainol Abidin.

Beliau menambah, bagi Belanjawan 2023 kerajaan negeri meluluskan pelaksanaan beberapa inisiatif baru kepada OKU antaranya program khidmat bantu di rumah bagi menjaga hal ehwal kebajikan warga emas dan OKU dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.

Sabariah berkata, selain itu turut diadakan Anugerah Premis Mesra OKU negeri dalam usaha memperbanyakkan akses dan kemudahan bersifat mesra OKU dengan peruntukan sebanyak RM150,000.

Katanya, selain itu diadakan karnival sukan OKU PPDK dan menyediakan geran pembangunan dan insentif khas OKU membabitkan peruntukan sebanyak RM850,000 serta program khusus bersama institusi pengajian tinggi negeri Pahang untuk golongan OKU berkemahiran dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.

"Peruntukan sebanyak RM1.2 juta turut disediakan untuk membeli al-Quran Braille bagi keperluan OKU penglihatan.

"Pemberian one off sebanyak RM50.00 kepada pemegang kad OKU membabitkan seramai 36,548 pemegang kad dengan peruntukan sebanyak RM1.827 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 11:28 AM