AHMAD Maslan. FOTO arkib NSTP
AHMAD Maslan. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan ditetapkan selama 26 hari iaitu pada 1 hingga 26 Februari nanti.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat beberapa ketetapan.

Katanya, ia termasuk tarikh diadakan Persidangan Tahunan Cawangan dan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian 2023 yang membabitkan pemilihan jawatan.

"Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan adalah pada 1 hingga 26 Februari nanti iaitu selama 26 hari.

"Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri UMNO Pusat akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac nanti.

"Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac nanti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, Tan Sri Shahrir Ab Samad dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023 (JPU 2023) dan Datuk Mustapha Yaakub dilantik sebagai Setiausaha JPU 2023.

"Tarikh pendaftaran bagi calon-calon untuk pertandingan di Bahagian dan Pusat adalah bermula pada 13 Februari dan ditutup pada 26 Februari nanti 5 petang.

"Kenyataan terperinci mengenai hal ini akan dimaklumkan kemudian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 12:40 AM