Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Pendekatan strategi serampang tiga mata bakal diambil untuk mengukuhkan kedudukan fiskal dalam menangani hutang negara berserta liabiliti yang kini mencecah RM1.5 trilion.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata ada beberapa strategi yang boleh diambil kerajaan seperti yang disebutnya pada minggu pertama menerajui kementeriannya.

Beliau berkata, pendekatan jangka pendek yang boleh diambil segera adalah dengan mendapatkan nilai terbaik bagi setiap perbelanjaan kerajaan.

"Kita boleh memastikan penyampaian projek dan kecekapan kos setiap projek kerajaan dapat dimaksimumkan.

"Itu caranya untuk menjimatkan wang dengan memastikan ketirisan dapat dihentikan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada kepemimpinan kanan Media Prima, diketuai Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid, petang tadi di pejabatnya, di sini.

Turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan, NSTP dan Pengarang Kumpulan, BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh dan Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan dan Pejabat Pengerusi Kumpulan Azlan Abdul Aziz.

Rafizi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sendiri ada menyebut bahawa beliau berpendapat sekurang-kurangnya sejumlah RM10 bilion boleh diperoleh segera daripada sistem sedia ada dengan menghentikan ketirisan.

Beliau berkata, dengan memperuntukkan semula serta memberi keutamaan dalam perbelanjaan negara, ia mampu memperkukuhkan kedudukan fiskal.

Namun, beliau berkata, pendekatan itu saja tidak mencukupi, justeru perlu ada perluasan untuk pungutan hasil negara.

"Ada beberapa pertimbangan dan keputusan dasar yang perlu kita ambil tetapi saya berpendapat ia memerlukan tempoh masa sedikit lama untuk dilihat kerana impaknya lebih besar.

"Ia membabitkan keseimbangan pertumbuhan dengan melindungi sektor sewajarnya dengan memastikan apa yang kita akan lakukan tidak memperlahankan pertumbuhan yang disasarkan," katanya.

Rafizi berkata, strategi ketiga yang boleh diambil adalah dengan segera menstruktur semula ekonomi negara.

Beliau berkata, ada keperluan mendesak untuk menaiktaraf ekonomi negara bagi membolehkan Malaysia meningkatkan perkhidmatan dan syarikat bernilai tinggi.

"Apabila pendapatan rakyat meningkat, ia juga menyumbang kepada hasil negara.

"Sudah jelas apa yang perlu dilakukan namun ia harus dilaksanakan secara berperingkat-peringkat," katanya.

Pada masa sama, Rafizi berharap seluruh negara memahami bahawa untuk tempoh satu dua tahun ini, kedudukan fiskal perlu diperkukuhkan.

Beliau berkata, untuk itu, kerajaan perlu melakukan beberapa perkara bagi membetulkan kedudukan negara dengan segera.

Rafizi berpendapat, selepas satu atau dua tahun, apabila kedudukan fiskal semakin kukuh, ada laba ekonomi kepada negara yang akan dirasai oleh rakyat dalam tempoh dua atau tiga tahun mendatang.

"Konsepnya sama lah kalau demam kena ambil Panadol (ubat). Awal-awal tu ada orang mungkin tak suka Panadol, mungkin tak suka ubat tapi kena ambil ubat dulu kan.

"Tapi ia (hutang negara) bukanlah sesuatu yang berada dalam keadaan yang berbentuk krisis yang perlu panik ataupun kerajaan berada dalam keadaan yang begitu terdesak.

"Kita masih ada ruang itu cuma sama macam dengan demam, kalau demam buat-buat tak faham ubat, tak ambil kira tak berehat kita tak ambil ubat beberapa perkara ia akan jadi semakin teruk," katanya.

Justeru, beliau berkata, landasan pengurusan kewangan negara perlu diubah sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 7:00 PM