AB Rauf Yusoh melawat kilang Koa Denko di Batu Berendam, hari ini. FOTO Amir Mamat.
AB Rauf Yusoh melawat kilang Koa Denko di Batu Berendam, hari ini. FOTO Amir Mamat.
Amir Mamat


Melaka: Kerajaan negeri menerima pelaburan baharu berjumlah RM3 bilion bagi pembinaan sebuah pusat data yang juga kedua terbesar di negara ini selepas Cyberjaya.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, sebuah syarikat gergasi dari Hong Kong sudah menyatakan persetujuan untuk membangunkan pusat data berkenaan di sebuah kawasan seluas kira-kira lapan hektar di Ayer Keroh, di sini tidak lama lagi.

Katanya, untuk tujuan terbabit, satu memorandum perjanjian sudah dimeterai, semalam antara kerajaan negeri dengan syarikat terbabit sebagai langkah awal bagi merealisasikan perancangan terbabit.

"Syarikat ini bersetuju untuk membuka satu daripada pusat data terbesar di Wilayah Selatan di Melaka dengan jumlah pelaburan sehingga RM3 bilion.

"Semalam mereka berjumpa dengan saya dan menandatangani satu perjanjian untuk membangunkan pusat data itu di lokasi yang disasarkan sebagai kawasan tapak baharu yang paling sesuai iaitu di Ayer Keroh," katanya selepas mengadakan lawatan Kilang Koa Denko, Batu Berendam di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Melaka (MCorp), Datuk Mashitah Ismail, CEO Invest Melaka Berhad, Datuk Ramli Mohd Ali serta Pengarah Urusan Kao Denko (Malaysia) Sdn Bhd, Seiji Ozawa.

Ab Rauf berkata, pusat data terbabit adalah yang kedua terbesar selepas Cyberjaya memandangkan Melaka sebuah negeri terletak di lokasi strategik antara Cyberjaya dan Johor serta mempunyai sambungan kabel dasar laut di Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri yakin sasaran untuk meraih RM6 bilion nilai pelaburan yang masuk ke Melaka tahun hadapan akan tercapai susulan minat mendalam syarikat asing dari beberapa negara untuk menanam modal pelaburan di negeri itu.

Katanya, antara negara terbabit termasuklah Jerman, Jepun, Korea Selatan, China dan Taiwan.

"Tahun ini kita berjaya mencapai sasaran nilai pelaburan berjumlah RM5 bilion dan sudah pasti, pada tahun hadapan terdapat banyak lagi pelabur baharu yang sudah menyatakan minat untuk melabur di Melaka.

"Sebab itu kita menyasarkan lebih RM6 bilion iaitu pertambahan RM1 bilion berbanding tahun lalu susulan langkah kerajaan negeri untuk membuka satu lagi kawasan perindustrian baharu yang sekali gus menarik minat pelabur ke negeri ini.

"Ia ditambah dengan Program Galakan Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang ditawarkan kerajaan menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang pasti akan menguatkan lagi semangat pelabur ke Melaka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 3:54 PM