ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa kemalangan di Bukit Gambir. FOTO Ahmad Ismail.
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa kemalangan di Bukit Gambir. FOTO Ahmad Ismail.
Ahmad Ismail


Tangkak: Seorang wanita maut selepas kenderaan dipandunya gagal membuat pusingan U sebelum dirempuh sebuah bas di Bukit Gambir, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, dalam kejadian pukul 8.34 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun disahkan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

"Polis menerima laporan pagi tadi berhubung kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Viva dan bas ekspres yang dilaporkan dari arah Bukit Gambir menghala ke Sungai Mati.

"Kedua-dua kenderaan ini dari arah sama, namun bas yang berada di belakang kereta Viva merempuh kenderaan mangsa selepas dia tiba-tiba membuat pusingan U di pekan ini," katanya ketika dihubungi.

Menurut Mohd Fadhil, mangsa membuat pusingan U di garisan berkembar untuk menghala ke arah Bukit Gambir.

"Pemandu bas yang tiba di lokasi kejadian cuba memberhentikan kenderaan namun gagal kerana jarak mereka terlalu dekat sehingga terlanggar bahagian kanan pintu hadapan kereta mangsa.

"Pemandu bas berusia 51 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan mangsa yang maut dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 4:52 PM