Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Pegawai dan kakitangan penguatkuasaan Kementerian Kesihatan (KKM) dilengkapi kamera badan ketika menjalankan operasi, khususnya bagi Program Kesihatan Awam dan Farmasi.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, penggunaan kamera badan itu mampu memastikan ketelusan pelaksanaan tugas penguatkuasaan yang dijalankan.

"Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada KKM khususnya Program Kesihatan Awam dan Program Farmasi atas inisiatif penggunaan teknologi 'body camera' dalam pelaksanaan tugas penguatkuasaan.

"Penggunaan kamera badan ini bukan sahaja dapat memastikan ketelusan dalam pelaksanaan penguatkuasaan, malah dapat menjaga kebajikan dan keselamatan pegawai penguat kuasa semasa melaksanakan tugas mereka," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan pertamanya, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Harjeet Singh dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Penggunaan teknologi berkenaan bagi mengatasi isu ancaman dan halangan yang dilapor berlaku terhadap pegawai penguat kuasa oleh penjual, pemilik premis atau orang awam.

Antara ancaman yang pernah dialami penguat kuasa termasuk ugutan bunuh, cubaan memukul dengan batang besi, ancaman lisan dengan kata-kata kesat serta cubaan memberi rasuah.

Selain itu ia juga menjadi bahan pembuktian atau bukti balas sewajarnya kepada penguat kuasa sekirnaya berhadapan tuduhan, serta memastikan imej profesionalisme penguatkuasaan KKM terpelihara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 1:05 PM
Harjeet Singh, Timbalan Menteri Kementerian Kesihatan Malaysia, Lukanisman Awang Sauni, Dr Zaliha, Khairy Jamaluddin dan Dr Noor Hisham hadir ketika penyerahan Nota Serah Tugas di Kompleks E, Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. FOTO AZIAH AZMEE
Harjeet Singh, Timbalan Menteri Kementerian Kesihatan Malaysia, Lukanisman Awang Sauni, Dr Zaliha, Khairy Jamaluddin dan Dr Noor Hisham hadir ketika penyerahan Nota Serah Tugas di Kompleks E, Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. FOTO AZIAH AZMEE