Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Seorang graduan Doktor Perubatan menerima sorakan dan tepukan gemuruh ketika menaiki pentas pada Upacara Konvokesyen ke-60 Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Ini kerana Koo Thai Hau, 25, mempunyai penyakit tapak kaki rata atau 'flat foot' sejak lahir itu bertongkat naik ke pentas untuk mengambil ijazah.

Thai Hau berkata, pihak USM sudah menawarkan bantuan bagi membawanya ke pentas dengan menaiki kerusi roda, namun dia enggan kerana sudah biasa berjalan menggunakan tongkat.

Pada mulanya dia berasa tidak yakin namun apabila menerima tepukan gemuruh saat menaiki pentas, perasaannya pula bercampur baur.

"Ketika itu air mata mula bertakung dan hendak menangis kerana mereka tetap beri sokongan walaupun tidak tahu keadaan sebenar serta susah payah saya menghabiskan pengajian ini.

"Apabila terdengar sorakan itu, saya yakin insan senasib dengan saya sebenarnya ada peluang berjaya sama seperti orang lain," katanya ketika ditemui di USM, hari ini.

Mengulas lanjut Thai Hau berkata, gejala penyakit itu menyebabkan kedua-dua belah tapak kakinya berasa sakit terutama jika kerap melakukan pergerakan.

Katanya, dia terpaksa memakai pengampu pada kaki kiri kerana dalam pemulihan selepas menjalani pembedahan pada Oktober lalu.

"Pembedahan ini sepatutnya sudah boleh dilakukan tiga tahun lalu namun saya mengambil keputusan bagi menangguhkannya dulu kerana mahu fokus kepada pengajian.

"Sepanjang tempoh itu saya perlu menahan sakit sepanjang masa dengan mengambil dua jenis ubat dan memandangkan saya tinggal sendirian di rumah sewa, segalanya perlu diuruskan sendiri.

"Ketika pengajian di USM Kubang Kerian, Kelantan juga saya bertuah kerana dibantu rakan, Hor Jie Wei, yang setia menghantar ke kuliah," katanya lagi.

Menurut Thai Hau, keadaan kakinya itu yang menyebabkan timbul minat belajar dan bercita-cita bagi bergelar doktor pakar.

Katanya, ketika ini dia dan rakannya sedang menyiapkan jurnal mengenai penyakit flat foot dan kesedarannya dalam kalangan masyarakat.

"Selepas ini saya mahu menyambung pengajian dalam bidang tertinggi bagi mencapai cita-cita dan seterusnya berbakti kepada masyarakat sebagai doktor pakar," katanya.

Thai Hua adalah antara 565 graduan ijazah Sarjana dan Doktor yang menerima sijil masing-masing pada sidang kelima konvokesyen berkenaan dengan dipengerusikan Pro-Canselor USM, Tan Sri Dr M Jegathesan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 3:10 PM
DR Narimah Samat (dua dari kiri) berbual dengan Thai Hau (tiga dari kanan), pada Upacara Konvokesyen ke-60 USM. FOTO Zuhainy Zulkffli.
DR Narimah Samat (dua dari kiri) berbual dengan Thai Hau (tiga dari kanan), pada Upacara Konvokesyen ke-60 USM. FOTO Zuhainy Zulkffli.