ANGGOTA APM berusaha membersihkan lubang saluran air dan longkang yang tersumbat akibat sampah di Putrajaya tadi.
ANGGOTA APM berusaha membersihkan lubang saluran air dan longkang yang tersumbat akibat sampah di Putrajaya tadi.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Sanggup berkorban mengorek dan membersihkan lubang saliran serta longkang di tepi jalan bagi memastikan pusat pentadbiran negara di sini, tidak ditenggelami banjir.

Itu usaha terpuji sekumpulan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang sanggup mengharungi hujan lebat bagi memastikan banjir kilat tidak berulang di pusat kerajaan di sini.

Jurucakap APM berkata, anggota APM membantu membuang sampah sarap yang menutupi lubang longkang dan saliran bagi mengelak air bertakung dan tidak dapat mengalir ke longkang besar.

"Syukur usaha kami berbaloi apabila kejadian banjir kilat yang semakin kerap berlaku di Putrajaya dapat dielakkan hari ini," katanya.

Sementara itu menerusi gambar tular di Facebook rasmi Perbadanan Putrajaya (PPj) memaparkan beberapa anggota APM giat membersihkan sampah tanpa menghiraukan hujan lebat.

Anggota APM juga dilihat mengawal keadaan lalu lintas dengan meletakkan kon di atas jalan raya bagi keselamatan pengguna.

Sementara itu PPj memaklumkan pasukan Task Force PPj dan APM segera memantau keadaan jalan di sekitar pusat pentadbiran kerajaan di sini susulan hujan lebat petang tadi.

PPj menyatakan pihaknya menutup satu lorong laluan di terowong Presint 11 akibat kejadian air bertakung.

Menurutnya, pasukan Task Force PPj dan APM berada di lokasi bagi memantau keadaan dan menasihatkan pengguna berhati-hati memandu ketika melalui kawasan itu.

Semalam media melaporkan, hujan lebat hampir satu jam menyebabkan beberapa kawasan dan laluan di pusat kerajaan di sini mengalami banjir kilat di Presint 5 di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 10:09 PM