Shahril Sufian Hamdan. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Shahril Sufian Hamdan. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu berundur secara terhormat susulan kegagalan parti itu meraih kemenangan di banyak kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Naib Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan berkata, biar kepimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar untuk parti termasuk bergabung dengan parti lain bagi membentuk kerajaan.

Katanya, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno perlu memutuskan gabungan mana yang mahu disertai untuk membentuk kerajaan dan bukan bersandar keputusan individu atau kelompok sahaja.

"Benar, ada konsep 'collective responsibility' dalam sesuatu kegagalan. Benar, Umno perlu mempertimbang apa langkah seterusnya dalam situasi tiada pihak mencapai angka 112 (kerusi Parlimen) di PRU15. Benar, keputusan ini besar dan perlu dibuat oleh MKT, bukan mana-mana individu atau kelompok sahaja.

"Tetapi, sebelum parti hendak bincang atau buat apa-apa keputusan, ada satu perkara yang perlu dilaksanakan dahulu. Saya sependapat dengan Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi).

"Iaitu, tanpa mengurangkan hormat kepada beliau sebagai individu, saya berpandangan pemimpin nombor satu Presiden Umno dan Pengerusi BN perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini, berundur secara terhormat," katanya dalam kenyataan, semalam.

Shahril juga mengumumkan beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan Umno.

"Saya menghargai peluang yang telah diberikan dan tidak akan melupakannya. Cuma, ini soal maslahat yang jauh lebih besar.

"Seperti ramai yang lain, saya kekal setia bersama Umno. Perjuangan parti belum selesai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 1:41 PM