MOHD Nizar menggunakan kenderaan kawalan jauh ketika berkempen di Pasar Tani Peramu. FOTO MOHD RAFI MAMAT
MOHD Nizar menggunakan kenderaan kawalan jauh ketika berkempen di Pasar Tani Peramu. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat

Pekan: Dua unit kenderaan kawalan jauh berwarna putih yang kali pertama muncul di daerah ini digunakan oleh calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya, Datuk Mohd Nizar Najib ketika berkempen.

Kenderaan itu dilengkapi dengan skrin yang memaparkan tayangan video aktiviti berkempen dilakukan calon berkenaan.

Menurut Mohd Nizar, rakannya menawarkan kenderaan berkenaan bagi tujuan berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Menurutnya, kenderaan itu hanya sesuai digunakan di kawasan terbuka seperti pasar tani dan pasar malam yang mempunyai kawasan luas.

"Kali pertama kenderaan berkenaan digunakan ketika saya berkempen di Pasar Tani Peramu, di sini semalam, ramai teruja melihat kenderaan itu yang dianggap unik dan menarik.

"Kenderaan yang dilengkapi skrin video dan pembesar suara itu menjadi tarikan pengunjung seterusnya diharap dapat mengenali saya, kemuncaknya akan memilih saya pada PRU-15 Sabtu ini," katanya.

Dia yang juga Ketua Pemuda UMNO Pekan berkata, selepas lebih seminggu berkempen dia amat berpuas hati dengan penerimaan masyarakat di kawasan DUN Peramu Jaya, rata-rata mereka memberi jaminan untuk mengundi BN di kerusi Parlimen Pekan dan DUN.

"Saya berharap dapat meraih kemenangan pada PRU-15 dan lebih manis lagi berupaya mencatat majoriti besar, kejayaan berkenaan menjadi hadiah paling bermakna pada daddy (Datuk Seri Najib Razak) yang banyak memberi sokongan sebelum ini.

"Saya sayu apabila ramai pengundi di Pekan ini yang menyatakan mereka dapat melepaskan rindu pada daddy (Najib) setiap kali melihat saya," katanya yang berjanji akan berkhidmat dengan sebaik mungkin sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat DUN Peramu Jaya.

Bekas ketua Kampung Tanjung Agas,

Mohd Amir Abd Manan, 38 berkata, sokongan pengundi muda pada calon DUN Peramu Jaya dilihat begitu membanggakan, mereka berpendapat pemimpin muda sahaja mampu menyelami hati dan naluri generasi muda.

"Saya terbabit dengan aktiviti berkempen bagi calon BN kerusi Parlimen Pekan dan DUN Peramu Jaya, yakin kejayaan akan berpihak pada calon BN.

"Hanya kejayaan besar sahaja dapat menggembirakan bekas Ahli Parlimen Pekan (Najib) yang sentiasa berada di hati penduduk Pekan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 3:18 PM