GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Selepas dua tahun Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) berlangsung secara digital, acara itu akan kembali diadakan secara fizikal di Kawasan Lapang Pantai Batu 1, Port Dickson, Negeri Sembilan mulai 24 hingga 30 November ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Ahmad Zulqarnain Onn berkata, sebelum ini, acara tahunan itu dianjurkan secara maya dengan jenama Minggu Saham Digital (MSD) susulan pandemik Covid-19.

"MSAM 2022 kali ini akan membawa tema 'Melestarikan Pelaburan Ke Arah Masa Hadapan Mampan' selari dengan aspirasi PNB menyokong penciptaan nilai mampan jangka panjang.

"Malah, kita juga akan mengekalkan pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan pelaburan bersepadu yang interaktif, menghiburkan dan menarik untuk orang ramai dari semua peringkat umur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Khas Jalinan Rakan Korporat MSAM 2022 bagi memperkenalkan 11 syarikat Kumpulan PNB bertindak sebagai Rakan Korporat MSAM 2022 di Menara PNB, di sini, hari ini.

Malayan Banking Berhad (Maybank), Sime Darby Plantation Berhad dan UMW Holdings Berhad diumumkan sebagai Rakan Premier MSAM 2022, manakala SP Setia Berhad, Sine Darby Berhad, Sime Darby Property Berhad, Malaysian Industrial Development Finance Berhad, MNRB Holdings Berhad dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) pula Rakan Utama selain Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Berhad (Prolintas) serta Duopharma Biotech Berhad sebagai Rakan MSAM 2022.

Ahmad Zulqarnain berkata, acara itu menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran yang disertai kira-kira 50 pempamer terdiri daripada syarikat-syarikat Kumpulan PNB, ejen-ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), badan kawal selia serta agensi kerajaan negeri.

"Selain itu, peranan Rakan Korporat MSAM 2022 juga akan diperjelaskan sebagai penyumbang utama pelaburan PNB.

"Orang ramai boleh melihat sendiri keteguhan syarikat-syarikat di mana wang mereka dilaburkan melalui unit-unit amanah yang diuruskan oleh ASNB.

"Pengunjung juga akan dapat mempelajari bagaimana pulangan yang diperoleh menerusi pelaburan dalam syarikat-syarikat strategik ini dapat diagihkan semula kepada pemegang unit dalam bentuk pengagihan pendapatan," katanya.

Beliau berkata, terdapat pelbagai hadiah menarik bernilai lebih RM1 juta turut disediakan untuk dimenangi pengunjung termasuk sebuah kereta elektrik Hyundai Kona Electric Lite bernilai lebih RM156,000, sebuah kereta elektrik Toyota Corolla Criss Hybrid Electric (hampir RM140,000) dan sebuah Perodua Alza 1.5 AV (RM75,500).

"Selain itu, kami juga ada menyediakan hadiah sebuah motosikal Yamaha MT-25 berharga RM21,500, enam motosikal Yamaha 135 LC FI dan pelbagai hadiah menarik termasuk barangan elektrik.

"Walaupun acara ini dianjurkan semula secara fizikal, MSAM 2022 terus mengekalkan beberapa aspek fizikal diperkenalkan semasa penganjuran MSD termasuk e-pendaftaran, kuiz pengunjung bertuah dan aplikasi acara memaparkan semua maklumat serta kaji selidik MSAM yang dipermudahkan melalui imbasan kod QR," katanya.

Katanya, acara itu dijangka dapat menarik seramai 150,000 pengunjung sekitar Negeri Sembilan dan lokasi berdekatan lain sepanjang tempoh berkenaan.

"Orang ramai boleh berkunjung ke acara ini mulai 24 hingga 30 November nanti di Kawasan Lapang Pantai Batu 1, Port Dickson, Negeri Sembilan dari jam 10 pagi hingga 10 malam dengan kemasukan adalah percuma," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 5:53 PM