Norzamira Che Noh

Shah Alam: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah mengambil tindakan proaktif dengan menubuhkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Taman Sri Muda, sebagai persediaan sekiranya berlaku banjir.

PKTK berkenaan diurus oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dan dibantu Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam.

Ia juga akan membabitkan Pegawai Daerah (Pejabat Daerah dan Tanah), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Ketua Kampung, komuniti dan agensi berkaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata PKTK ditubuhkan berasaskan amaran awal daripada Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) serta data yang diberikan agensi berkaitan.

"Ia adalah usaha proaktif daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah selepas melihat pada pengalaman (pengurusan banjir) pada Disember 2021.

"Saya amat gembira kerana pengurusan bencana perlu diurus secara pantas untuk mengurangkan risiko bencana dan mudarat yang mungkin berlaku," katanya pada sidang media selepas meninjau PKTK di Taman Sri Muda, hari ini.

ABD Latiff (kiri) melawat Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Taman Sri Muda, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
ABD Latiff (kiri) melawat Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Taman Sri Muda, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

Dalam pada itu, Abdul Latiff berkata JPS menempatkan 11 pam di seluruh Selangor yang mana lapan di Taman Sri Muda manakala selebihnya di Sepang dan Kuala Langat.

Katanya, JPS juga akan menyewa empat lagi pam daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd iaitu anak syarikat kerajaan negeri.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata PKTK itu akan dibuka 24 jam bergantung pada keadaan cuaca.

"Ia mula beroperasi jam 8 malam tadi dengan kekuatan tujuh pegawai dan anggota. Kita juga menempatkan lima bot di sini sebagai persediaan.

"26 lagi anggota kita yang bersiap siaga di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam sekiranya berlaku kejadian banjir malam ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 11:55 PM