Omar Ahmad


Johor Bahru: Lebih 50 peniaga resah setiap kali hujan lebat terutama apabila melebihi dua jam kerana premis perniagaan mereka di Medan Niaga Kampung Melayu di sini akan dinaiki air.

Malah lebih memburukkan keadaan apabila air hujan bertakung atas bumbung jatuh ibarat air terjun dalam bangunan.

Pengerusi Persatuan Peniaga Kampung Melayu, Zarita Zainal berkata keadaan itu telah berlarutan sejak empat tahun lalu tanpa penyelesaian biarpun sudah beberapa kali aduan diketengahkan kepada pihak berkenaan.

Katanya, selain banjir, masalah promosi yang kurang turut menyebabkan 150 peniaga yang pada awalnya beroperasi di medan niaga itu terpaksa angkat kaki.

"Ketika mula beroperasi terdapat 150 peniaga di sini, tetapi disebabkan pelbagai masalah seperti bocor yang teruk, sistem saliran dan kurang promosi menyebabkan hanya tinggal kira-kira 50 peniaga sahaja yang bertahan.

"Keadaan banjir dalam bangunan memang sangat menyusahkan kami kerana perlu angkat barang dalam kedai ke tempat yang selamat. Dalam masa sama kena tolak air keluar dari premis.

"Bukan kali pertama berlaku macam ini, setiap kali hujan lebat lebih dua jam, pasti akan banjir dalam kedai," katanya ketika ditemui di sini.

PENIAGA terpaksa menolak air dari dalam premis ketika hujan lebat yang menyebabkan Media Niaga Kampung Melayu banjir. FOTO Omar Ahmad
PENIAGA terpaksa menolak air dari dalam premis ketika hujan lebat yang menyebabkan Media Niaga Kampung Melayu banjir. FOTO Omar Ahmad

Bagi peniaga pakaian, Syarifah Nur Syarifuddin, 36, dia sudah melalui situasi itu sepanjang empat tahun dan terpaksa menanggung kerugian apabila terdapat baju yang basah terkena air hujan.

Katanya, keadaan menjadi lebih teruk jika hujan lebat pada waktu malam menyebabkan ada pakaian yang tidak dapat diselamatkan.

"Saya penjual pakaian jadi yang merisaukan bila hujan lebat waktu malam, kita tidak boleh tidur fikirkan kain baju dalam kedai takut kena hujan.

"Bila hujan lebat pada waktu siang, kita akan terus tarik baju kita ke depan tempat yang selamat. Saya pernah satu rak baju basah, rugi tidak boleh jual.

"Kita alami benda ini sudah lama, kita buat aduan, aduan dan aduan tetapi kita pun tidak tahu apa masalah tiada penyelesaian. Kali ini kita merayu semoga ada penyelesaian," katanya.

Sementara itu, peniaga minyak wangi, Mohd Hisham Ab Rahman berkata kebocoran itu pada mulanya tidak serius namun berikutan kurang penyelenggaraan menyebabkan bumbung yang bocor semakin teruk.

"Bangunan ini sudah empat tahun beroperasi, ia bermasalah kerana kurang penyelenggaraan yang menjadikan keadaan bangunan banjir.

"Sebelum ini keadaan tidaklah teruk macam ini, tetapi sebab lama tidak dijaga jadi macam inilah banjir, hujan lebat angin kuat, air hujan tempias masuk," katanya yang mengharapkan wakil rakyat dipilih dapat menyelesaikan isu terbabit dan bukan hanya sekadar melawat dan berjanji semata-mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 2:21 PM