Bekalan air di sekitar Pasir Gudang yang terjejas sejak seminggu lalu pulih sepenuhnya tengah malam tadi. FOTO ihsan fb MB
Bekalan air di sekitar Pasir Gudang yang terjejas sejak seminggu lalu pulih sepenuhnya tengah malam tadi. FOTO ihsan fb MB
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Bekalan air yang terjejas di kawasan Pasir Gudang sejak Jumaat minggu lalu pulih sepenuhnya sejak tengah malam tadi dan paras air tangki juga kembali kepada normal.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri turut berbincang dan meminta jasa baik Ranhill SAJ untuk melihat kepada kaedah bagi memberi rebat kepada semua pengguna yang terkesan agar dapat mengurangkan beban pengguna.

Beliau berkata, pihaknya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak serta semua agensi serta organisasi yang banyak membantu dan menyalurkan bekalan air secara alternatif.

Menurutnya, ia termasuk Yayasan Raja Zarith Sofiah, Ranhill SAJ, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Persatuan Bulan Sabit Merah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan agensi swasta.

"Di kesempatan ini, saya ingin memohon maaf kepada semua penduduk dan sektor perniagaan di Pasir Gudang yang mengalami kesulitan akibat kejadian berkenaan.

"Masalah air yang terjadi akibat paip bocor di Persiaran Seri Alam berlaku di luar jangka, ekoran kerja teknikal yang dijalankan.

"Namun saya yakin tempoh bertindak serta terbitan jadual bantuan bekalan air mesti diperbaiki, jika berlaku lagi kejadian seumpama ini," katanya.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri sentiasa memandang serius isu ketiadaan air, sama ada untuk kegunaan seharian penduduk mahupun sektor industri.

"Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk menangani perkara sebegini akan disemak dan ditambahbaik agar bekalan air terawat akan terus dapat disalurkan kepada pengguna," katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 12:55 PM