Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: "Nasihat saya, jangan kita bakar jalan kita ke syurga."

Demikian kata Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh sebelum menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap tertuduh, Nazri Zol, 34, yang mengaku bersalah menampar belakang, muka serta meletakkan cekodok panas di tangan neneknya.

Beliau berkata, tertuduh amat beruntung kerana masih mempunyai nenek dan menasihatinya supaya tidak mensia-siakan warga emas itu kerana doanya mustajab.

"Kamu beruntung pada usia 34 tahun masih ada nenek. Tolong jaga perangai dan mintalah maaf kepada nenek kamu, bukan pada saya," katanya yang menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 21 Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan, Nazri yang mengaku kepada mahkamah kesalahan itu dilakukan kerana tidak dapat mengawal kemarahan, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap neneknya, Halimah Hassan, 83, di sebuah rumah di Taman Sutera Belia, Batu Berendam, pada 21 Oktober lalu, jam 9.20 pagi.

NAZRI dijatuhi hukuman penjara 12 bulan atas kesalahan dengan sengaja mencederakan neneknya. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
NAZRI dijatuhi hukuman penjara 12 bulan atas kesalahan dengan sengaja mencederakan neneknya. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000, jika sabit kesalahan.

Fakta kes menunjukkan pada hari kejadian berlaku pertengkaran antara tertuduh yang juga anak sulung dengan ibunya selepas tertuduh menolak neneknya itu.

Tertuduh kemudian menampar belakang badan dan muka neneknya serta mengambil kuih cekodok panas dan diletakkan pada tangan kanan warga emas itu.

Tindakan itu menyebabkan wanita terbabit mengalami kecederaan 'soft tissue injury' sebelum tertuduh ditangkap pada jam 10 malam hari sama.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri yang menjalankan pendakwaan memohon supaya tertuduh yang tidak diwakili peguam dikenakan hukuman setimpal kerana kesalahan serius yang tidak sepatutnya dilakukan seorang cucu terhadap neneknya.

Terdahulu tertuduh merayu hukuman ringan kerana sudah insaf dan memohon maaf atas kesalahan dilakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 3:08 PM