Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Busuk, jijik dan meloyakan. Itu situasi yang sempat dilihat dan dirakam di dalam bilik air asrama yang menempatkan pekerja warga asing ketika serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah di sebuah kilang plastik kitar semula, di sini, malam tadi.

Dalam Op Mahir bermula jam 11 malam diketuai Ketua Unit Aduan, Risikan dan Operasi JIM Kedah, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Mohamad Rizal Ramli, seramai 39 pendatang asing tanpa izin (Pati) berjaya ditahan.

Operasi selama empat jam dengan kekuatan 27 pegawai dan anggota itu dilakukan susulan daripada risikan dan juga maklumat awam diterima JIM yang mengatakan kilang terbabit beroperasi selama 24 jam.

Ketika serbuan, sebahagian daripada lelaki warga asing terbabit dilihat sedang melakukan kerja, manakala selebihnya berehat dan tidur di dalam bilik asrama yang dibina menggunakan kontena serta bangunan lama.

Pekerja warga asing yang tinggal di asrama bangunan lama dilihat sanggup menghidu aroma bau hancing daripada bilik air yang dipercayai sudah lama tidak digunakan.

Ini berikutan, bilik air berkenaan dijadikan sebagai tempat membuang air kecil oleh penghuni asrama terbabit sehingga ia berlumut dan menimbulkan pemandangan menjijikkan.

Lebih meloyakan apabila ada penghuni sanggup tinggal serta memasak dalam bilik berhampiran bilik air berkenaan tanpa menghiraukan bau busuk terbabit.

Difahamkan, setiap bilik asrama menempatkan lapan penghuni dan mereka dikatakan bekerja selama lapan jam sehari tanpa diberikan cuti dengan gaji RM75 sehari.

BILIK air terbiar yang dijadikan tempat membuang air kecil pekerja warga asing yang menghuni asrama sebuah kilang plastik kitar semula yang diserbu JIM, di sini malam tadi. FOTO Izad Thaqif Hassan
BILIK air terbiar yang dijadikan tempat membuang air kecil pekerja warga asing yang menghuni asrama sebuah kilang plastik kitar semula yang diserbu JIM, di sini malam tadi. FOTO Izad Thaqif Hassan

Pengarah Imigresen Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, seramai 168 pekerja lelaki warga asing diperiksa dalam operasi terbabit dan 39 daripada mereka didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan pas kerja tamat tempoh.

"Mereka (Pati) yang ditahan itu terdiri daripada 36 lelaki warga Myanmar, dua Pakistan dan seorang Bangladesh berusia 17 hingga 51 tahun.

"Ketika operasi, tiada sebarang kekecohan berlaku dan kes disiasat mengikut Sekysen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) akta yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 10:10 AM