LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Keputusan mesyuarat Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan terhadap guru Matematik Mohd Fadli Mohamed Salleh yang mengetengahkan masalah pendidikan di Malaysia khususnya silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan isu beg berat melalui media sosial, akan dikongsikan guru berkenaan di media sosial pada malam ini.

Ia disahkan beliau menerusi paparan terbarunya di Facebook (FB) hari ini yang menggunakan akaun Cikgu Fadli Salleh.

"Keputusan meeting (mesyuarat) Lembaga Tatatertib dah keluar.

"Malam ni saya share (kongsi). Debor macam tunggu result (keputusan) pilihan raya pula," katanya menerusi paparan terbaru di FB sebentar tadi.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata, keputusan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan terhadap guru berkenaan akan diketahui hari ini.

"Keputusan itu akan diserahkan oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan kepada ketua jabatan guru matematik berkenaan.

"Saya baru dimaklumkan persidangan atau mesyuarat Lembaga Tatatertib baru sahaja tamat (semalam) dan Insya Allah esok pihak urus setia berkenaan akan sampaikan keputusan berkenaan melalui ketua jabatannya," katanya dipetik.

Kelmarin, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali dilaporkan berkata, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan dijadualkan bersidang hari ini selepas menerima surat representasi yang dikemukakan oleh Mohd Fadli pada Jumaat lalu.

Pkharuddin memaklumkan, surat yang diterima Mohd Fadli tidak membawa maksud hukuman sudah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan.

Sebelum ini, Mohd Fadli mendakwa akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat, kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

Beliau dalam hantaran FBnya menyatakan, bilangan murid di dalam kelas terlalu ramai selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat yang katanya boleh memudaratkan kesihatan murid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 5:04 PM