MOHAMMED Azman. FOTO Arkib NSTP
MOHAMMED Azman. FOTO Arkib NSTP
Izzati Zaidi

Kuala Lumpur: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), menyambut baik perancangan digariskan kerajaan melalui Bajet 2023 bagi mengukuhkan lagi ekonomi negara dan melindungi kebajikan rakyat, terutamanya dalam aspek perlindungan keselamatan sosial.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed berkata, Perkeso komited untuk melaksanakan inisiatif Bajet 2023 seperti diumumkan Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi menambah baik jaringan perlindungan sosial di negara ini.

"Inisiatif itu merangkumi bantuan padanan caruman kepada golongan bekerja sendiri, Program Insentif Penggajian, penambahbaikan Pusat Satelit MYFutureJobs di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Penempatan Pekerjaan Kebangsaan (National Placement Centre), perlindungan kepada suri rumah dan Program Saringan Kesihatan Perkeso.

"Melalui inisiatif pertama mengurangkan bebanan golongan bekerja sendiri untuk membayar caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso, kerajaan akan meneruskan bantuan padanan caruman melalui program SPS Padanan Caruman.

"Menerusi inisiatif ini, kerajaan akan menanggung bayaran caruman SKSPS sebanyak 80 peratus bagi pelbagai kumpulan sasar Orang Bekerja Sendiri (OBS) seperti penghantar makanan, petani, nelayan, penjaja dan lain-lain," katanya tadi.

Beliau berkata, Program Insentif Penggajian (Hiring Incentives) pula memperuntukkan sebanyak RM150 juta untuk melaksanakan Program Insentif Penggajian yang akan membuka peluang kerjaya kepada lebih 70,000 pencari kerja di seluruh negara.

"Insentif sebanyak RM600 hingga RM750 sebulan selama tiga bulan itu akan diberikan kepada majikan yang membuat pengambilan pekerja khususnya golongan mudah terjejas seperti Orang Kurang Upaya (OKU), wanita, bekas banduan, pesara tentera, orang asli dan pekerja dalam sektor pelancongan," katanya.

Menurutnya, pada tahun 2023, perkhidmatan pekerjaan Perkeso akan terus dipertingkatkan dengan penambahbaikan fasiliti 13 Pusat Satelit MYFutureJobs di UTC serata negara.

"Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM8 juta kepada Perkeso untuk menjalankan kerja penambahbaikan ruang pejabat, penambahan kaunter kaunseling kerjaya dan bilik-bilik temu duga, pembinaan landskap dan ruang informasi pasaran buruh dan penyediaan peralatan ICT," katanya.

Kerajaan turut akan melanjutkan program Kasih Suri Keluarga Malaysia menerusi Insentif Caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Perkeso bagi meneruskan hasrat untuk melindungi golongan wanita khususnya suri rumah sepanjang menjalankan tugas menjaga rumah dan membangun institusi keluarga.

"Dalam mendokong Agenda Nasional Malaysia Sihat susulan penularan wabak Covid-19, Perkeso juga bertanggungjawab untuk melaksanakan perkhidmatan saringan kesihatan kepada golongan pekerja bagi mengekalkan produktiviti ekonomi negara.

"Program ini bertujuan memberi pengesanan awal terhadap penyakit tidak berjangkit (Noncommunicable Diseases), seterusnya mengambil tindakan lebih awal bagi penjagaan kesihatan pekerja," katanya.

Menerusi program ini, pencarum Perkeso berumur 40 tahun dan ke atas yang layak akan berpeluang menjalani saringan

kesihatan seperti mengesan dan mencegah penyakit kritikal termasuklah diabetes, fungsi buah pinggang dan hati serta saringan kanser.

"Golongan pekerja wanita juga akan mendapat saringan tambahan iaitu saringan mamogram dan ujian `pap smear' bagi mengenal pasti risiko kanser payu dara dan kanser serviks," tambahnya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 6:14 PM