ANGGOTA APM Kota Setar bersama polis melakukan pemantauan di kawasan sungai di sekitar daerah Kota Setar. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM Kota Setar bersama polis melakukan pemantauan di kawasan sungai di sekitar daerah Kota Setar. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Sungai Anak Bukit di Taman Aman di sini, masih mencatatkan tahap amaran manakala Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya serta Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR mencatatkan tahap berwaspada.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, paras air di Sungai Anak Bukit di Taman Aman menunjukkan bacaan 2.22 meter manakala Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya merekodkan bacaan 1.56 meter dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR pula 1.55 meter.

Beliau berkata, bacaan paras meter air sungai itu direkodkan pada 4.10 petang hari ini.

"Terdapat dua buah rumah terjejas dinaiki air iaitu di Kampung Alor Gunong berikutan kenaikan paras air sungai.

"Namun pemantauan secara berkala dilakukan sebagai persediaan sekiranya terdapat peningkatan paras air sungai.

"Keadaan cuaca semakin baik ketika ini namun trend air sungai kini semakin meningkat malah pihak polis turut serta dalam pemantauan hari ini," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Norlizawati berkata, pihaknya akan sentiasa mendapatkan sumber info melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sepanjang masa.

Sementara itu, laman web rasmi Public Infobanjir JPS pada 4 petang hari ini melaporkan paras air di Sungai Padang Terap Kampung Kubu di daerah Padang Terap melebihi paras bahaya iaitu 13.69 meter berbanding 13.02 meter.

Sungai Sari Kilang Gula Padang Terap pula menunjukkan paras air 28.07 meter yang melebihi tahap amaran iaitu 27.5 meter.

Selain itu, Sungai Perik Padang Terap mencatatkan bacaan 11.59 meter dan melebihi paras waspada 11 meter manakala di Intake Empangan Beris di Sik pula menunjukkan 84.08 meterdan sudah melepasi tahap waspada 84 meter dan trend air semakin menaik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 5:59 PM