MANGSA dibawa oleh pasukan SAR di Jeti Anjung Batu. FOTO ihsan Bomba
MANGSA dibawa oleh pasukan SAR di Jeti Anjung Batu. FOTO ihsan Bomba
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Tindakan berani seorang wanita yang juga pengamal ilmu kebatinan bertapa seorang diri di Pulau Besar di sini, mengundang bencana apabila dia tersesat di pulau itu.

Wanita berusia 37 tahun itu bernasib baik apabila berjaya menghubungi pasukan penyelamat sebelum diselamatkan pada jam 10.45 malam kelmarin, berhampiran sebuah gua di situ.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati wanita penjual sayur di pasar malam itu sudah beberapa kali datang sendirian ke Pulau Besar bagi tujuan perubatan yang mensyaratkannya mengelilingi pulau berkenaan enam kali.

Menurutnya, pada hari kejadian mangsa bercadang bermalam di Surau Pulau Besar bagi tujuan perubatan batin dan mengelilingi pulau itu buat kali keempat.

"Siasatan mendapati wanita itu pergi ke Pulau Besar menaiki bot nelayan melalui Jeti Anjung Batu, Merlimau jam 8 pagi kelmarin dan memberitahu nelayan akan pulang pagi ini (semalam).

"Awalnya dia bercadang berjalan mengelilingi Pulau Besar mulai tengah hari sehingga senja sebelum bermalam di Surau Pulau Besar.

"Ketika berjalan menuruni kawasan bukit berbatu di Gua Yunus pulau itu, mangsa hilang arah sebelum menelefon MERS (Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia) 999 untuk bantuan," katanya.

Menurut Christopher mangsa berasal dari Bukit Rambai di sini, ditemui pasukan penyelamat pada jam 10.45 malam sebelum dibawa ke Jeti Anjung Batu, Merlimau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 2:52 PM