GULA pasir rosak yang dirampas selepas disimpan di premis tidak dilesenkan. FOTO NURALAIAWATI SABRI
GULA pasir rosak yang dirampas selepas disimpan di premis tidak dilesenkan. FOTO NURALAIAWATI SABRI
Nuraliawati Sabri


Melaka: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, merampas sejumlah 500 tan gula pasir termasuk baja bersubsidi berjumlah hampir RM4.5 juta, dalam serbuan di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini, hari ini.

Serbuan kira-kira jam 11 pagi itu, dijalankan sepasukan penguatkuasa hasil daripada risikan selama seminggu dijalankan terhadap premis terbabit.

Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar berkata, premis itu menjalankan aktiviti mencurigakan dan jasi siasatan mendapati gudang penyimpanan terbabit tidak diwartakan.

"Ketika serbuan pasukan penguatkuasa menemui 300 tan gula pasir rosak dianggarkan bernilai RM885,000 dan baja bersubsidi yang beratnya 200 tan, berjumlah RM3.3 juta dan kesemuanya dianggarkan hampir RM4.5 juta.

"Malah pemeriksaan lanjut kemudian mendapati, premis ini tidak dilesenkan atau mempunyai permit bagi penyimpanan mana-mana barangan kawalan," katanya pada sidang media, hari ini.

Menurutnya, meskipun diberitahu pemilik mempunyai lesen namun semakan dilakukan mendapati lesen terbabit didaftar bagi yang premis lain.

"Kita syak ia beroperasi baru kira-kira sebulan namun siasatan lanjut akan dijalankan termasuk memeriksa sama ada pemiliknya berusia 60-an pernah diambil tindakan atau sebaliknya sebelum ini.

"Dua lelaki warga asing berusia 25 hingga 30-an disyaki penjaga premis turut ditahan dan pemiliknya akan dipanggil bagi dirakam percakapan," katanya.

Mengulas lanjut, Norena berkata, siasatan lanjut juga akan dijalankan bagi mendapatkan kesahihan dakwaan yang mengatakan baja bersubsidi itu adalah bagi kegunaan sendiri.

"Meskipun dikatakan bagi kegunaan sendiri, pemilik perlu memohon dan memiliki lesen atau permit simpanan.

"Malah bekalan gula pasir yang rosak ini pula dikatakan diperoleh daripada pihak yang terkesan dengan bencana banjir dan akan dijual untuk kegunaan industri membuat makanan dengan harga lebih rendah," katanya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1981 dan Perkara 3(1)Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 6:05 PM