TINJAUAN semula di beberapa lokasi di Subang 2, Subang Perdana, Subang Bestari, Brickfields, Chow Kit dan sekitar Subang Jaya mendapati kebanyakan premis beroperasi seperti biasa. FOTO NSTP
TINJAUAN semula di beberapa lokasi di Subang 2, Subang Perdana, Subang Bestari, Brickfields, Chow Kit dan sekitar Subang Jaya mendapati kebanyakan premis beroperasi seperti biasa. FOTO NSTP
Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Sindiket perjudian dalam talian dilihat kebal apabila masih beroperasi walaupun didedahkan akhbar ini minggu lalu.

Tinjauan semula di beberapa lokasi di Subang 2, Subang Perdana, Subang Bestari, Brickfields, Chow Kit dan sekitar Subang Jaya mendapati kebanyakan premis beroperasi seperti biasa.

Malah, penjaga premis yang terdiri dari warga Bangladesh dan Indonesia turut membuat promosi apabila menawarkan baucer RM50 kepada pelanggan.

Ketika tinjauan dilakukan, hampir keseluruhan premis didapati penuh dan mempunyai pelanggan.

Penjaga premis ketika ditemui berkata, majikannya menawarkan baucer kepada pelanggan bagi mengembalikan keyakinan.

"Ini tauke bagi abang, nanti abang boleh main RM50, percuma saja, kalau menang boleh 'cuci'.

"Tak perlu takut, abang main saja, nanti kalau apa-apa kita beritahu," katanya.

Sementara itu, di Brickfields, wartawan gagal memasuki premis berkenaan kerana hanya dibuka kepada pelanggan tetap.

Namun, berdasarkan maklumat awam, premis perjudian masih lagi beroperasi di sekitar Cheras, Brickfields dan Kajang.

Dalam pada itu, polis Kuala Lumpur ketika dihubungi berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan serbuan.

Namun pihaknya tidak berkongsi statistik ketika diminta wartawan.

Muka depan Harian Metro pada 27 September lalu melaporkan selepas hilang 'menyepi' sejak awal tahun lalu, sindiket perjudian dalam talian di sekitar Lembah Klang kembali bernyawa tanpa memerlukan lagi premis atau markas statik.

Kali ini mereka dikesan menggunakan modus operandi dengan hanya membekalkan peranti mudah alih seperti tablet dan komputer riba diberikan kepada kaki judi.

Langkah itu membolehkan pelanggan melakukan pertaruhan judi di mana-mana sahaja mereka berada sekali gus mengelakkan sindiket diserbu polis ketika beroperasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 3:48 PM