Petugas APM mempersiapkan khemas untuk kegunaan mangsa banjir yang kini ditempatkan di PPS Dewan Semanggol. FOTO IHSAN APM
Petugas APM mempersiapkan khemas untuk kegunaan mangsa banjir yang kini ditempatkan di PPS Dewan Semanggol. FOTO IHSAN APM
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Seramai 12 mangsa membabitkan tiga keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Semanggol di sini, tengah hari tadi berikutan banjir melanda Kampung Bukit Tengah, Semanggol di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri berkata ia susulan kediaman keluarga terbabit dinaiki air akibat hujan sejak awal pagi menyebabkan air naik setinggi 0.1 meter hingga 0.3 meter.

Katanya, selain itu paras air banjir di lokasi juga masih tidak menunjukkan sebarang penurunan dan masih bertakung selain dibimbangi lebih buruk berikutan cuaca tidak menentu.

"Bagaimanapun semua petugas kini dalam keadaan bersiap sedia dalam semua aspek," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, sebanyak 30 rumah termasuk sekolah turut terbabit dalam banjir namun tidak membabitkan pemindahan mangsa.

Mohd Sabli berkata seramai 16 petugas terdiri dari polis, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) ditugaskan di PPS berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 4:37 PM